"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bicara kes rasuah RM15 juta ‘Datuk Seri’ berkait projek KDN tahun depan

Ho Kit Yen

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes seorang “Datuk Seri” yang dituduh meminta dan menerima RM15 juta daripada rakan perniagaan untuk mendapatkan projek daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) ditetapkan Mei tahun depan.

Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob menetapkan 6 hingga 17 Mei bagi perbicaraan terhadap Sim Choo Thiam yang didakwa atas empat pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 pada bulan lalu.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa meminta RM15 juta daripada Hep Kim Hong di Jalan Dutamas 1 di sini pada Jun 2021.

Mengikut kertas pertuduhan, rasuah itu bertujuan sebagai dorongan kepada menteri dalam negeri ketika itu Hamzah Zainudin untuk membantu syarikat Hep, Asia Coding Sdn Bhd, dalam mendapatkan projek daripada kementeriannya.

Sim turut dihadapkan atas tiga pertuduhan lain membabitkan penerimaan wang tunai RM15 juta daripada Hep antara 19 Julai dan 31 Julai 2021.

Tertuduh diwakili peguam Kee Wei Lon, Low Wei Loke dan Hannah Kam, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Asma Ahmad.

WALAU BERJAYA JADIKAN KERAJAAN PERPADUAN HILANG MAJORITI DUA PERTIGA, MUDA TAK MUNGKIN B

Shahbudin Husin 

Dengan keputusan Muda untuk bertanding solo pada PRN akan datang ini, secara langsung ia bermakna parti tersebut tidak lagi menyokong kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim.

Secara tidak langsung pula bererti Muda sudah menarik balik permohonan atau penantian tiada jawapan untuk terus menyertai PH.

Muda bukan saja bergerak solo dalam PRN yang akan disertainya nanti, malah mulai sekarang juga dikira solo dalam kedudukan politik negara.

Dalam erti kata lain, selain sudah memisahkan diri daripada PH, Muda juga, sekurang-kurangnya buat masa ini, turut tidak bersama dengan PN.

Untuk akan datang, tidak mustahil Muda akhirnya akan bersama PN yang merupakan blok pembangkang utama kerana jika terus bergerak sendirian, mereka tentu sedar ia tidak akan membawa mereka ke mana-mana.

Sudah banyak contoh parti yang bergerak solo tidak mampu menang apa-apa kerusi akhirnya.

Kerusi Parlimen dan Dun yang dimenangi Muda sebelum ini pun adalah atas sokongan dan kerjasama yang diberikan PH kepada parti tersebut.

Berikutan keputusan dan kedudukan Muda ketika ini, kesan paling awal daripadanya ialah kerajaan perpaduan diterajui Anwar sudah hilang majoriti dua pertiga yang dimilikinya.

Selama ini kerajaan perpaduan mendapat sokongan sejumlah 148 Ahli Parlimen iaitu genap dua pertiga daripada jumlah 222 Ahli Parlimen keseluruhannya, termasuk satu kerusi daripada Muda yang dipegang oleh Syed Saddiq di Muar, Johor.

Kini, sokongan kepada kerajaan perpaduan hanya tinggal 147 Ahli Parlimen saja lagi.

Tiada lagi majoriti dua pertiga yang dimiliki kerajaan perpaduan ini sebagai simbol kebanggaan serta kekuatannya.

Daripada sudut yang lain, sebagaimana namanya Muda, parti itu juga sebetulnya masih dikira muda daripada segi kekuatan sokongan daripada kalangan pengundi.

Tumpuan parti itu semata-mata pengundi muda, manakala pengundi fua dan pertengahan usia barangkali lebih tertarik kepada parti-parti lain yang sudah sedia kukuh nama dan jenamanya.

Dengan itu, tambahan lagi bergerak solo, ia memang sukar menjanjikan apa-apa kemenangan buat Muda dalam PRN yang akan disertainya nanti.

Cuma, dengan masuk bertanding di kerusi-kerusi kritikal yang berlaku pertembungan sengit antara PH/BN dengan PN, Muda sekadar mampu menyumbang kepada perpecahan undi semata-mata.

Tetapi, perpecahan undi itu belum tentu merugikan PH/BN serta belum tentu juga menguntungkan PN.

Yang pasti, Muda tidak mungkin beroleh sebarang keuntungan melalui penyertaan solonya itu.

Harus diakui, senario dan pilihan pengundi negara kita masih sukar dipisahkan daripada memilih dua blok utama – kerajaan atau pembangkang dan sama ada PH/BN atau PN.

Tambahan lagi, Muda hanya memutuskan bertanding beberapa kerusi di negeri terfentu saja pada PRN akan datang ini.

Gambaran daripadanya bermakna Muda tidak berhasrat menubuhkan kerajaan sendiri melalui penyertaannya dalam PRN kali ini.

Maka, siapa mahu mengundi mereka dan untuk apa pengundi memberi undi kepada Muda?

Nasib paling hampir yang dijangka menimpa Muda pada PRN enam negeri nanti ialah ia akan mengulangi malang Pejuang dan GTA yang hilang deposit semua kerusi ditandinginya lantaran bertanding solo pada PRU15 lalu. – ShahbudinHusin 27/06/2023.

Mayat lelaki tertiarap ditemukan di jalan raya

FMT Reporters
PETALING JAYA: Mayat lelaki ditemui dengan kesan luka pada beberapa bahagian badan di Jalan Toman 8, Seremban berhampiran sebuah hospital swasta.

Ketua Polis Seremban Arifai Tarawe, berkata, kira-kira 11:45 pagi tadi, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam menyatakan terdapat seorang lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kesan kecederaan.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati mangsa berumur 39 tahun dijumpai tertiarap di atas jalan raya dalam keadaan tidak bernyawa.

“Pemeriksaan awal pada anggota badan mangsa terdapat kesan kecederaan pada muka dan badan.

“Pemeriksaan pada pakaian mangsa mendapati barang peribadi masih berada dalam milikan mangsa,” katanya dalam kenyataan.

Arifai berkata, mayat dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) untuk bedah siasat dan setakat ini punca kematian masih belum dapat disahkan lagi, kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Adi Khusaini Saripudin di talian 0127702282 atau IPD Seremban 066033222.