"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Imbasan mahkamah: DNAA Zahid cetus kontroversi, hukuman sebat menanti Syed Saddiq

Syazwana Amir

PETALING JAYA: Tahun 2023 menyaksikan beberapa nama besar terdiri daripada ahli politik dan selebriti mewarnai kamar mahkamah yang prosidingnya mendapat perhatian ramai.

Lensa kamera turut dihala kepada pegawai penguat kuasa termasuk membabitkan seorang pegawai kanan polis yang didakwa membunuh pelajar berusia 17 tahun dalam satu kejadian langgar dengan kereta di Ipoh, Perak.

Berikut beberapa rangkuman prosiding mahkamah yang mendapat perhatian ramai.

Zahid Hamidi dilepas tanpa dibebaskan daripada 47 tuduhan

Pada 4 Sept lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan untuk melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi atas kesemua 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram berkaitan dengan dana Yayasan Akalbudi.

Pasukan pendakwaan memohon perkara itu yang dibenarkan mahkamah atas beberapa alasan termasuk perlu kaji keterangan saksi perbicaraan serta membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan lanjut terhadap bukti baharu dikemukakan Zahid.

Bagaimanapun, presiden Umno itu boleh berdepan semula pertuduhan jika pendakwaan meneruskan kes ini, atau mengemukakan kes pada bila-bila masa nanti berdasarkan fakta dan keterangan yang serupa dalam kes ini.

Permohonan itu dikritik pelbagai pihak termasuk Majlis Peguam yang memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Peguam Negara memohon DNAA terhadap Zahid.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dihukum penjara 7 tahun, sebat

Bekas menteri belia dan sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan denda RM10 juta oleh Mahkamah Tinggi selepas didapati bersalah atas empat tuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Armada bernilai lebih RM1 juta.

Ahli Parlimen Muar itu turut dikenakan hukuman dua sebatan dalam keputusan yang dibacakan Hakim Azhar Abdul Hamid pada 9 Nov.

Susulan keputusan itu, Syed Saddiq meletak jawatan presiden Muda sehingga proses undang-undang membabitkannya selesai.

Mahkamah bebaskan Muhyiddin tuduhan salah guna kuasa

Pada 14 Ogos, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya semasa menjadi perdana menteri bagi mendapatkan suapan berjumlah RM232.5 juta untuk Bersatu.

Muhyiddin didakwa menggunakan kedudukan beliau untuk suapan berjumlah RM232.5 juta daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Azman Yusoff bagi Bersatu di antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Sanusi didakwa menghasut

Menteri Besar Kedah Sanusi Nor didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang pada 18 Jul atas tuduhan menghasut berhubung isu pelantikan menteri besar Selangor dan penubuhan kerajaan perpaduan menerusi ceramah politik.

Perbicaraan membabitkan Adun Jeneri itu akan berlangsung selama 12 hari di antara Januari dan Februari tahun depan.

Yasin bebas, diarah ke Hospital Bahagia

Pada 29 Nov, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya melepas dan membebaskan penyanyi dan komposer Muhammad Yasin Sulaiman atas tiga pertuduhan berkaitan dadah.

Hakim Faiz Dziyauddin bagaimanapun memerintahkan Yasin ditempatkan di Hospital Bahagia, Ulu Kinta, Perak, untuk menjalani rawatan selama tempoh diperkenan Sultan Selangor.

Pelajar maut didakwa dilanggar, pegawai kanan polis didakwa

Kematian tragis pelajar berusia 17 tahun Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie yang didakwa dilanggar sebuah kereta pada 15 Dis mengheret seorang pegawai kanan berpangkat Deputi Superintendan ke mahkamah.

Tiga hari kemudiannya, Mohd Nazri Abdul Razak, 44, didakwa secara tentatif di Mahkamah Majistret Ipoh atas pertuduhan membunuh Muhammad Zaharif di Jalan Taman Jati 1, dekat Sekolah Menengah Kebangsaan Jati, Meru.

Ada perjanjian dibuat untuk Mat Sabu kekal presiden Amanah

Shahrul Shahabudin

PETALING JAYA: Dua perjanjian dibuat oleh Mohamad Sabu bagi membolehkan beliau terus kekal sebagai presiden Amanah untuk penggal ketiga dan terakhir dalam pemilihan parti itu pada minggu lalu, kata sumber.

Seorang pemimpin parti yang enggan dikenali berkata perjanjian pertama adalah untuk membenarkan Mujahid Yusof Rawa – yang dipilih sebagai timbalan presiden dan kemnya menguasai barisan kepimpinan – untuk melantik ketua negeri.

Perjanjian kedua adalah untuk Mujahid menggantikan Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu di mana penggal pemerintahan beliau berakhir pada 2026, katanya.

Sumber berkata, ini semua dipersetujui oleh kedua-dua pemimpin itu susulan keputusan pemilihan parti yang menyaksikan 18 daripada 27 jawatan barisan kepimpinan kebangsaan yang dipilih, mempunyai kaitan dengan bekas menteri agama itu.

Antara pemimpin mempunyai kaitan dengan Mujahid adalah tiga pemimpin dari Perak iaitu bekas Adun Manjoi Asmuni Awi, Ahmad Termizi Ramli, dan Muhaimin Sulam.

Beberapa lagi yang dikaitkan dengan Mujahid termasuklah Exco Selangor Izham Hashim, bekas Ahli Parlimen Tampin Hasan Bahrom, Sabki Yusof, bekas Exco Selangor Dr Siti Mariah Mahmud, dan Lahirul Latigu.

“Perjanjian ini dibuat untuk mengelak perbalahan antara kedua-dua kem,” kata sumber.

Komen sumber itu secara tak langsung menyentuh khabar angin bahawa Amanah berpecah kepada dua kem, yang menyokong Mohamad dan satu lagi menyokong Mujahid, walaupun mereka menafikan dakwaan tersebut.

Bagaimanapun, pemimpin parti itu berkata tiada sebarang isu kem Mujahid menguasai barisan kepimpinan parti.

“Adalah penting untuk parti mempunyai seseorang yang berkemampuan seperti Mujahid untuk berdepan dengan PAS,” katanya.

Pada Ahad lalu, Mohamad dipilih oleh 27 pemimpin tertinggi parti untuk terus kekal sebagai presiden Amanah bagi sepenggal lagi selepas menduduki tempat kelapan dengan memperoleh 613 undi dalam pemilihan parti.

Mujahid pula dilantik sebagai timbalan presiden selepas mendapat tempat keempat dengan memperoleh 699 undi.

Remaja parah disimbah asid ketika pulang kerja

Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@mediaprima.com.my
NADIA Fasha Qistina cedera parah akibat disimbah asid menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh. FOTO Ihsan Azman Shah Mohammad
NADIA Fasha Qistina cedera parah akibat disimbah asid menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh. FOTO Ihsan Azman Shah Mohammad
Kuala Lumpur: "Sudah hampir dua bulan anak menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh dan sudah menjalani lapan kali pembedahan bagi memulihkan tisu kulit serta menyelamat matanya."

Itu kata Azman Shah Mohammad, 43, bapa kepada remaja, Nadia Fasha Qistina, 19, yang mengalami kecederaan parah selepas disimbah asid ketika pulang dari kerja di Denai Alam pada 8 November lalu.

Menurut Azman, ketika kejadian itu anaknya baru enam hari bekerja di sebuah klinik di situ dan dia disimbah asid oleh seorang lelaki menyamar sebagai pekerja e-hailing yang kemudiannya melarikan diri.

"Kejadian menyebabkan anak mengalami kecederaan teruk di muka dan badan serta kakinya sehingga terpaksa menjalani lapan kali pembedahan.

"Harga sekeping tisu kulit mencecah RM4,000 dan saya sudah membayar RM32,000 untuk membeli lapan keping tisu kulit," katanya ketika dihubungi malam ini.

Azman yang hanya bekerja peniaga burger berkata, selain itu setiap minggu dia juga perlu membayar RM1,600 untuk membeli bactrigas yang berfungsi seperti pembalut yang mana semua ini perlu dibeli sendiri.

"Sehingga kini saya sudah menghabiskan semua wang simpanan.

"Doktor juga memaklumkan anak saya kemungkinan akan tinggal di hospital ini selama setahun dan perlu bergantung kepada ubat-ubatan seumur hidupnya," katanya.

Katanya, isterinya juga jatuh sakit dan mengalami masalah serangan panik selepas kejadian itu dan turut dirawat di hospital sama.

"Saya amat berharap polis dapat segera menahan pelakunya yang mana saya difahamkan suspek seperti diupah seseorang.

"Anak saya baru bekerja enam hari jadi belum mencarum dengan Perkeso malah tidak mempunyai insurans perlindungan diri," katanya.

Sehubungan itu, mereka yang ingin membantu kewangan keluarga ini untuk kos rawatan anaknya boleh menyalurkan sumbangan di akaun bank RHB 16452600039344 atas nama Azman.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim mengesahkan kejadian itu dan siasatan masih dijalankan.