"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dalang 'kartel perolehan' TLDM ditahan

Bernama

Tiga lelaki dipercayai bertindak sebagai dalang kepada ‘kartel perolehan’ melibatkan kerja-kerja pembinaan di sebuah Kem Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bernilai lebih RM9 juta, ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor petang semalam.

Menurut sumber ketiga-tiga lelaki berusia dalam lingkungan 28 hingga 47 tahun tersebut ditahan di Pejabat SPRM Johor kira-kira 6 petang semalam

Difahamkan tangkapan ke atas ketiga-tiga individu itu dibuat atas kesalahan tuntutan palsu dan menjadi dalang ‘kartel perolehan’ kepada 13 syarikat pembekal yang menguruskan kerja-kerja pembinaan di kem berkenaan.

Sumber memaklumkan pembayaran penuh telah dibuat, namun pembinaan masih belum siap dengan sempurna.

Dalam pada itu, Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.  

“Kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. Kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pada 8.30 pagi esok (hari ini) bagi mendapatkan permohonan reman,” katanya lagi.

- Bernama

Houthi serang satu lagi kapal AS

AFP

Sanaa: Pemberontak Houthi Yaman, pada Jumaat, mendakwa melakukan serangan peluru berpandu ke atas sebuah kapal Amerika Syarikat (AS) di Teluk Aden.

Houthis berkata dalam satu kenyataan yang disiarkan di media sosial berkata, pasukan tentera lautnya menyerang kapal Chem Renjer, dengan beberapa peluru berpandu tentera laut.

Kenyataan berkenaan bagaimanapun tidak memberikan masa atau butiran lain untuk serangan terbaharu di laluan perkapalan antarabangsa itu.

Tindakan Houthi terhadap kapal di Laut Merah menyebabkan serangan tindak balas tentera AS dan United Kingdom (UK). AS sebelum ini melaporkan serangan terbarunya ke atas sasaran Houthi, pada Khamis lalu.

Syarikat pengurusan risiko maritim Britain, Ambrey berkata, Chem Ranger adalah kapal tangki kimia berbendera Kepulauan Marshall, milik AS.

"Tiada anak kapal terkorban atau kerosakan dilaporkan," kata pemantau itu.

Chem Renjer sedang belayar dari Jeddah di Arab Saudi ke Shuwaik di Kuwait apabila ia melaporkan wujud pergerakan mencurigakan oleh dron, kata Ambrey.

Menurutnya, satu dron jatuh di laut kira-kira 30 meter dari kapal tangki itu, tambahnya.

"Sebuah kapal perang India bertindak balas terhadap peristiwa itu," katanya.

Houthi secara beransur-ansur meningkatkan serangan ke atas kapal di Laut Merah, sejak perang ke atas Gaza meletus pada 7 Oktober lalu.

Kenyataan Houthi berkata, pihaknya menentang penindasan rakyat Palestin di Semenanjung Gaza dan bertindak balas terhadap serangan AS dan UK.

Ketika AS mengumumkan serangan terbarunya ke atas Houthi pada Khamis, Presiden Joe Biden berkata, tindakan itu akan diteruskan sehingga pemberontak yang disokong Iran berhenti menyasarkan kapal di Laut Merah.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara AS John Kirby memberitahu pemberita, tentera AS melancarkan beberapa peluru berpandu antikapal.

Beberapa firma perkapalan utama sudah tidak melalui teluk itu berikutan laporan serangan di perairan berkenaan.

Aset luar negara bukan rahsia - Isteri Daim tegur media

Malaysiakini

Naimah Khalid berkata keluarganya tidak pernah menyembunyikan sebarang pemilikan aset luar negara yang diperoleh daripada "aktiviti perniagaan dan pelaburan" sejak sebelum suaminya, Daim Zainuddin, terlibat dalam politik.

Isteri bekas menteri kewangan itu berkata demikian sebagai menjawab laporan Malaysiakini mengenai dokumen bocor yang mendedahkan kewujudan satu lagi akaun luar pesisir yang bernilai ratusan juta ringgit milik mereka.

Naimah mendakwa laporan itu ditulis dalam "nada sensasi" untuk menimbulkan persepsi bahawa wujudnya sebarang salah laku.

“Hakikatnya, penulis pun tidak mencadangkan wujud unsur jenayah, justeru timbul persoalan mengapa laporan sebegitu disiarkan.

“Mencemarkan nama baik seseorang dengan tuduhan dan persepsi tersirat tanpa memberikan bukti yang dapat dipercayai adalah salah dan tidak beretika.

"Ia menunjuk ke arah pembunuhan watak dengan berselindung sebagai sebuat laporan," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan melalui peguamnya Rajesh Nagarajan.

Menurut dokumen terbaru diperolehi Konsortium Wartawan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ) dan dikongsi dengan Malaysiakini, amanah itu ditubuhkan atas nama dua anak lelaki Naimah dan Daim, iaitu Muhammed Amir Zainuddin dan Muhammed Amin Zainuddin.

Kebocoran daripada penyedia perkhidmatan di Kepulauan Cayman menunjukkan bahawa sehingga 2020, terdapat aset bernilai kira-kira AS$52.56 juta (RM244.06 juta) yang dipegang dalam ZA Star Trust dimilik ketiga-tiga mereka.

Ia juga menunjukkan bahawa ZA Star Trust menerima pinjaman sebanyak AS$49 juta (RM227.53 juta) daripada Adam Zeta Trust tetapi tidak ada butiran mengenai tujuannya, atau siapa pemilik Adam Zeta Trust.

Maklumat terkini memberi gambaran bahawa aset di luar pesisir tersebut sebelum ini dikaitkan dengan Daim, dan melalui maklumat yang terhad ia menunjukkan nilainya bawah £25 juta (RM148.26 juta).

Naimah turut mempersoalkan wajar membincangkan isu kewangan peribadi seseorang individu ketika tiada jenayah dilakukan.

“Laporan ini hanya akan menimbulkan andaian, khabar angin dan persepsi terhadap kami atau sesiapa sahaja yang mempunyai kedudukan yang sama.

"Tidak dinafikan, inilah sebabnya (artikel) diterbitkan,” tambahnya.