"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lori terbalik, penduduk bukan tolong tetapi ‘berjemaah’ kebas durian

KOSMO
Tangkap layar menunjukkan orang ramai ‘mengebas’ durian yang terjatuh di tengah jalan. - TikTok
JAKARTA – Satu klip video tular di wilayah Lampung, Indonesia menunjukkan berpuluh-puluh penduduk mengambil buah durian yang terjatuh daripada sebuah lori terbalik akibat kemalangan, lapor portal berita Metro TV semalam. 

Kejadian berlaku di Jalan Lintas Sumatera Kampung Banjarmasin, Way Kanan baru-baru ini. 

Rakaman yang dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @feedgramindo4 memaparkan orang ramai berpusu-pusu mengambil durian yang berselerak di atas jalan dan dalam lori. 

Ada yang meletakkan durian-durian itu di dalam beberapa guni yang dibawa dari rumah. 

Menurut pemandu lori, dia bukan sahaja mengalami kerugian besar tetapi turut kehilangan geran kenderaan dan wang tunai sebanyak 1.5 juta rupiah (RM406). 

“Semua durian lesap. Geran kenderaan dan wang saya juga diambil orang,” katanya. 

Perbuatan itu mengundang kecaman netizen. Mereka menuduh penduduk setempat hanya mementingkan diri sendiri dan tidak menghiraukan nasib pemandu lori tersebut. 

“Nama pun Lampung, perangai juga ‘kampung’,” kata seorang pengguna media sosial. 

“Manusia jenis apa sampai tamak dan tidak berperikemanusiaan?” kata netizen lain. – AGENSI

Misteri lot kosong dipenuhi perkataan ‘tolong’

KOSMO
Lot kosong yang dipenuhi dengan mesej pelik di Los Angeles, California. - Google Earth
SACRAMENTO, CALIFORNIA – Sebuah lot tanah kosong di negeri California, Amerika Syarikat (AS) menjadi perhatian ramai kerana dipenuhi dengan perkataan ‘help’ (tolong) dan mesej aneh, lapor akhbar The Sun UK semalam. 

Tapak itu terletak di Los Angeles, kira-kira 1.6 kilometer dari Dewan Bandaraya Los Angeles. 

Imej tersebut dipaparkan di platform pemetaan Google Maps dan Google Earth sebelum ia dimuat naik ke platform X. 

Selain perkataan ‘help’, kawasan itu juga dipenuhi dengan tulisan ‘Jabatan Polis Los Angeles (LAPD)’ dan ‘federal’ atau persekutuan di antara serpihan serta longgokan sampah. 

Lebih membimbangkan adalah apabila terdapat perkataan ‘trafico’ yang membawa maksud trafik dalam bahasa Sepanyol.

Penemuan mengejutkan itu sekali gus mencetuskan teori konspirasi bahawa tapak tersebut berkemungkinan menjadi lokasi bagi kegiatan pemerdangan manusia. 

“Pemerdagangan manusia mungkin berlaku di sini,” kata seorang netizen. 

“Ini salah satu perkara paling menyeramkan yang saya pernah lihat,” kata pengguna media sosial lain. 

Sementara itu, syarikat yang memiliki hartanah tersebut, Union Pacific Railroad berkata, tiada sebarang kegiatan jenayah berlaku di situ selain aktiviti menceroboh.

“Foto di Google Maps yang memaparkan perkataan meminta bantuan itu dicipta kira-kira setahun lalu. Tiada sesiapa yang berada dalam bahaya,” kata jurucakap Union Pacific Railroad. – AGENSI

Jet pejuang F-35 terhempas, juruterbang selamat

Bernama

WASHINGTON: Sebuah jet pejuang F-35 milik Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) terhempas pada Selasa di Pangkalan Tentera Udara Eielson, Alaska dengan juruterbang dilaporkan selamat, lapor Agensi Anadolu (AA) memetik pegawai tentera.

Kejadian berlaku kira-kira 1 tengah hari waktu tempatan (2200GMT) di landasan, menurut Airman 1st Class Spencer Hanson seperti dipetik oleh Anchorage Daily News.

Dalam satu kenyataan, Pejabat Hal Ehwal Awam 354th Fighter Wing menyifatkan nahas itu sebagai "kejadian melibatkan pesawat" yang mengakibatkan kerosakan besar tetapi kekal dalam kawasan pagar pangkalan itu.

Menurut pejabat itu, juruterbang telah dihantar ke Hospital Tentera Bassett untuk penilaian.

Komander 354th Fighter Wing Kolonel AS Paul Townsend berkata Tentera Udara akan menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.

"Anggota kami adalah aset paling penting, dan kami komited untuk memastikan keselamatan mereka," katanya.

Punca nahas masih dalam siasatan.