"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Malik dahului Maktar calon timb KM?

 Jimadie Shah Othman
ADUN Batu Maung, Abdul Malik Abul Kassim, disebut-sebut sebagai timbalan satu ketua menteri Pulau Pinang, menggantikan Mohammad Fairus Khairuddin yang melepaskan jawatan tersebut minggu lalu.

Abdul Malik dilihat sebagai calon pilihan kerana mempunyai pengalaman dalam pentadbiran kerajaan negeri apabila ditugaskan sebagai exco perdagangan dalam negeri dan hal-ehwal pengguna.

Beliau sebelum ini diberikan tugas hal-ehwal Islam yang dipegang Mohammad Fairus bagi "meringankan tugas" ADUN Penanti itu. 

Seorang lagi calon timbalan satu ketua menteri, Maktar Shapee pula dilihat berpotensi dilantik sebagai exco bagi mengambil alih portfolio pembangunan usahawan, koperasi, penerangan dan perhubungan masyarakat yang diketuai oleh Mohammad Fairus sebelum ini.

Maktar, juga ADUN Sungai Bakap, mengetuai PKR Nibong Tebal.

Sumber-sumber PKR memberitahu 
Malaysiakini, walaupun Maktar aktif menjalankan tanggungjawabnya sebagai ADUN, pesara guru itu difahamkan "kurang pandai berpolitik" – menjadikan beliau tidak sesuai mengisi jawatan penting itu.

Abdul Malik dan Maktar dipertimbangkan ke jawatan nombor dua itu apabila terdapat dua orang sahaja ADUN PKR berbangsa Melayu – selain Muhmmad Fairus – dalam kerajaan Pulau Pinang.

Malik bagaimanapun ketika dihubungi hari ini berkata, beliau "belum lagi" mendapat sebarang makluman daripada kerajaan negeri berhubung perkara itu.

Ditanya sama ada beliau dihubungi secara rasmi oleh PKR, Malik mengulangi jawapan yang sama: "Belum lagi."

Usaha mendapatkan reaksi Maktar setakat ini belum berhasil.

Sementara Setiausaha PKR Pulau Pinang, Mustafa Kamal Mohd Yusof berkata, status kekosongan kerusi timbalan ketua menteri itu "tidak langsung dibincangkan" dalam mesyuarat perhubungan semalam.

Tambahnya, PKR negeri menyerahkan sepenuhnya keputusan mencari pengganti Muhammad Fairus kepada kebijaksanaan penasihatnya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Semalam Datuk Seri Anwar datang, beliau tidak ada sebut langsung tentang perkara itu," katanya.  
-malaysiakini-

Tiada ulasan: