KERAJAAN Selangor takut, kata Ketua Pemuda Umno Selangor, Abdul Shukor Idrus. Sebab itu, ia memujuk Elizabeth Wong kembali sebagai Ahli Dewan Negeri Bukit Lanjan dan Exco kerajaan negeri.
Shukor berkata, jika peletakan jawatan Wong diterima, maka kerajaan negeri akan menghadapi rakyat yang kini tahu bagaimana menilai prestasinya sejak setahun memerintah negeri berkenaan. Katanya, rekod kerajaan negeri buruk dan itu jadi punca ketakutannya melepaskan Wong.
Shukor juga berkata, langkah kerajaan negeri itu juga menunjukkan kerajaan negeri tiada mempunyai pemimpin yang sesuai untuk diketengahkan jika berlaku pilihanraya kecil.
Namun lain pula nada Umno di Pulau Pinang. Sebaik pecah khabar Ahli Dewan Negeri Penanti, Mohamad Fairuz Khairuddin meletak jawatan, Ketua Pembangkang dari Umno, Datuk Azhar Ibrahim berkata, itu adalah helah Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang merugikan dana awam.
Katanya, pilihanraya hanya akan menyusahkan rakyat.
Sementara sekutunya dalam Barisan Nasional Pulau Pinang, Eng Hiap Boon dari MCA dan Dr Teng Hock Nan dari Gerakan berpendapat, pengumuman peletakan jawatan Fairus itu adalah cara PKR untuk meraih publisiti.
Oleh itu, mereka dan beberapa kerabat Barisan Nasional menyimpulkan bahawa tindakan PKR menggunakan pendekatan ini untuk “membersarakan” wakil-wakil rakyatnya yang bermasalah, adalah satu “salahguna” proses demokrasi.
Mereka menyebut pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh; Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau di Kedah dan terakhir sekali mungkin bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Penanti, Pulau Pinang, sebagai alasan hujah.
Laungan mereka ini disokong oleh kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya, Tan Sri Aziz Yusof apabila beliau menyatakan pilihanraya kecil memakan biaya yang besar.
Bagaimanapun katanya, jika ada kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri mahupun parlimen, SPR tetap akan menguruskan pilihanraya kecil demi memastikan rakyat mempunyai wakil yang sah di dewan berkenaan.
Namun yang menjadi persoalan mengapa soal belanja dijadikan asas perkiraan? Benarkah ini merugikan? Jika benar, maka betullah tindakan kerajaan Selangor pimpinan PKR tidak mahu pilihanraya kecil berlaku di Bukit Lanjan kerana soal kos pilihanraya. Jika demikian, kurang bijaklah Ketua Pemuda Umno Selangor mengatakan kerajaan negeri takut menghadapi rakyat!
Namun apabila PKR berani dan sanggup pula mengosongkan kerusi Penanti hanya untuk mengisinya dengan calon yang lebih efektif, tindakan itu dikatakan sebagai membazir dan menyusahkan rakyat.
Jika benar demikian kenapa Umno tidak rujuk sahaja kepada dan bekas Menterinya, Shahrir Samad berhubung tindakannya meletak jawatan ahli Parlimen Johor Bahru dan bertanding semula sebagai calon bebas lebih 20 tahun lalu? Shahrir bukan sahaja menang malah dapat membuktikan Umno (terutama Umno baru yang didaftar semula pada 1988) sudah tidak dapat kepercayaan rakyat lagi.
Oleh itu Umno perlu tentukan sikap – perlu atau tidak pilihanraya kecil di Penanti diadakan? Bila Pakatan Rakyat tidak mahu izinkan pilihanraya kecil berlaku di Bukit Lanjan, ia dikatakan penakut. Namun apabila ia hendak diadakan di Penanti, Permatang Pauh, Pulau Pinang dan peluang menang tipis, ia dikatakan membazir.
Wakil PKR di Bukit Selambau meletakkan jawatan dan melorongkan pilihanraya kecil berlaku kerana keselamatan beliau dan keluarga terancam. Laporan polis dibuat, tetapi tiada tindakan tegas diambil. Bagaimana Arumugam hendak menumpukan perhatian kepada tugasnya jika keselamatan beliau tidak keluarga tidak terjamin? Maka beliau berhenti. Dan, pilihanraya kecil berlaku.
Fairuz pula berhenti kerana hendak beri tumpuan kepada keluarga dan melanjutkan pelajaran. Beliau juga hendak mengambil peluang di luar lingkungan tugas politik untuk membersihkan namanya dari pelbagai tohmahan. Salahkah tindakan itu?
Kes pilihanraya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh lapan bulan lalu adalah unik. Dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim, semua orang, baik kawan mahupun lawan akan mengakui hakikat bahawa potensi beliau sebagai pemimpin adalah besar. Dan, beliau tidak boleh menjadi wakil rakyat kerana dianiaya oleh musuh-musuh politiknya. Maka salahkan jika isterinya berkorban melepaskan kerusi parlimen supaya Anwar bertanding dan rakyat dan negara dapat memanfaatkan potensi kepemimpinannya?
Kini jelas kedudukan, mentaliti dan tahap keyakinan diri Umno. Jika Umno berani menghadapi rakyat, adakanlah pilihanraya kecil Behrang dan Cangkat Jering. Lebih baik lagi bubarkanlah Dewan Undangan Negeri. Ini akan membantu selesaikan kemelut politik Perak. Itu baru berani namanya.
-TVAntara.com.my-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan