Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said terus berikrar membantah dasar Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), termasuk dalam pilihanraya kecil DUN Penanti tidak lama lagi. "Untuk saya sendiri, saya akan teruskan (berkempen). Biarpun saya kalah dalam berlawan," katanya kepada Malaysiakini ketika ditanya sama beliau akan turut serta berkempem tersebut seperti pada pilihanraya kecil Kuala Terengganu dan Bukit Selambau. "Saya akan terus (berkempen) kerana saya merasakan, yang paling penting (menjelaskan persoalan) mengapa Kementerian Pelajaran melanggar Akta Bahasa (dengan melaksanakan PPSMI)? Atas alasan itu (saya berkempen)." Bekas timbalan satu ketua menteri Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin semalam menyerahkan surat rasmi meletak jawatan ADUN kawasan itu berkuatkuasa serta-merta. Mengulas lanjut kempen membantah PPSMI menggunakan saluran pilihanraya kecil, A Samad menjelaskan, kempen menggunakan medan itu "lebih berkesan" berbanding kaedah lain, misalnya menghantar memorandum. "(Memorandum) itu salah satu (saluran). Selalunya, memorandum itu akan diperap oleh hal yang lain. Sebab mereka (kerajaan) merasakan soal bahasa itu tidak terlalu penting," katanya, yang bertindak sebagai penasihat Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP). GMP bulan lalu menganjurkan demonstrasi besar ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong dan kini A Samad bersama barisan pemimpin gabungan itu, termasuk pengerusinya Datuk Dr Hassan Ahmad, dalam siasatan polis. A Samad juga melihat peralihan pucuk kepimpinan dalam Kementerian Pelajaran kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak membayangkan pemansuhan dasar itu. "Saya fikir mereka sendiri merasakan bahawa apa yang diasaskan (Datuk Seri) Hishammudin (Hussein) itu tidak perlu diganggu. Itu yang saya rasakan, begitulah," katanya yang terkenal dengan novel Salina. "Apa yang disebut Muhyiddin, bahawasanya (beliau) menerima apa yang diwariskan dan akan membawa benda itu ke kabinet. Tetapi itu tidak berbeza daripada apa yang Hishammuddin cakap (sebelum ini)." Timbalan perdana menteri - selepas majlis terima tugas dari bekas menteri pelajaran - dilaporkan berkata ingin mendapatkan maklum balas beberapa kementerian lain sebelum memutuskan dasar PPSMI. Muhyiddin juga mengulangi kenyataan Hishammudin sebelum ini yang dilaporkan berkata kertas laporan telah siap dan sedia dikemukakan untuk pertimbangan mesyuarat kabinet dalam masa terdekat. Ditanya sama ada beliau telah putus harapan terhadap kementerian itu, A Samad berkata: "Bukan putus harapan tetapi tidak ada apa yang bergerak." -Malaysia Kini- |
"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
Isu PPSMI diseret ke Penanti pula
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan