"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Setiausaha DUN Perak digantung...

Speaker DUN Perak, V Sivakumar telah menggantung jawatan setiausaha DUN Perak, Abdullah Antong Sabri kerana mengeluarkan notis untuk mengadakan sidang DUN pada 7 Mei lalu tanpa pengetahuan dan persetujuannya.

Menurut Bernama, dalam sidang akhbar di Ipoh hari ini, Sivakumar berkata, beliau menggantung tugas Abdullah kerana mengeluarkan notis tersebut yang dianggap sebagai satu tindakan ketidakpatuhan.
    
"Saya dengan ini bersetuju melantik Mohd Misbahul Munir Marduki untuk menggantikan beliau sebagai Setiausaha DUN sehingga saya mengeluarkan keputusan selanjutnya," katanya.
    
Sivakumar berkata akan menulis surat untuk mendapatkan pengesahan dan penjelasan daripada pihak Istana berhubung perkara itu kerana sebarang notis untuk memanggil DUN bersidang mestilah dilakukan dengan pengetahuan dan persetujuan Speaker.
    
"Sementara itu, persidangan DUN yang dikatakan akan berlangsung pada 7 Mei tidak boleh diteruskan sementara menunggu untuk mendapatkan penjelasan.

Persidangan DUN berkenaan terpaksa ditangguhkan ke suatu tarikh lain berikutan keperluan untuk memberikan notis 14 hari kepada Anggota DUN," katanya.

Semalam Abdullah mengesahkan bahawa beliau telah mengeluarkan notis untuk bersidang pada 7 Mei kepada semua anggota DUN mulai semalam.
    
Abdullah juga berkata pihaknya telah mendapat perkenan Sultan Perak berhubung persidangan DUN itu semalam dan baginda berkenan menandatangani surat pengisytiharan berhubung persidangan itu.
    
Kali terakhir DUN Perak bersidang adalah pada 13 November 2008 dan sekiranya dewan berkenaan tidak bersidang dalam tempoh enam bulan dari tarikh akhir itu, maka DUN Perak akan bubar secara automatik dan pilihanraya bagi DUN perlu diadakan.

Notis mengadakan sidang DUN Perak itu dibuat selepas Mahkamah Persekutuan memutuskan tindakan Sivakumar menggantung Menteri Besar BN, Datuk Zambry Abd Kadir dan enam ecxconya adalah terbatal dan tidak sah.

Ekoran itu, mereka kini boleh menghadiri sidang DUN Perak.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: