"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Isu Penyelewengan Tanah TOL Di Indera Mahkota

Eksklusif: Kontroversi Perihal Isu Penyelewengan Tanah TOL Di Indera Mahkota, Kerajaan Negeri Dirayu Tangguh Serta Batalkan Segera Projek Itu

KUANTAN Majlis Perbandaran Kuantan, Pejabat Tanah Dan Daerah Kuantan dan Pejabat Pengarah Tanah & Galian Pahang digesa segera menyelesaikan isu penyelewengan tanah yang berlaku di Taman Pasdec Makmur, Indera Mahkota dekat sini. Isu ini telah beberapa kali didedahkan oleh kami sebelum ini. Namun tinjauan krew kami ke lokasi terbabit mendapati pihak terbabit masih lagi menjalankan operasi pembinaan sebuah premis restoran di kawasan terbabit. Tapak yang dimaksudkan ialah terletak di belakang kedai 7elevan dan pasarayaTunas Manja. Penduduk setempat juga sudah beberapa kali membawa perkara ini kepada pihak atasan termasuk Pegawai Daerah Kuantansendiri untuk menyelesaikannya, namun hingga setakat ini nampaknya masih belum ada tindakan sewajarnya untuk menghentikan projek terbabit demi kepentingan penduduk setempat. Bahkan wakil rakyat kawasan terbabit YB Pang Tsu Ming (ADUN Semambu) dari BN (MCA) sendiri pernah membawa isu ini untuk diselesaikan oleh pihak berkenaan. Namun ternyata ia terus berlarutan sehingga ke hari ini. Maka itu siapa lagi yang boleh diharapkan untuk membela nasib penduduk setempat. Mahu diharapkan kepada YB Azan Ismail, Ahli Parlimen Indera Mahkota dariParti Keadilan Rakyat maka sudah pasti mereka akan menganggap kes ini bukan isu politik dan tidak harus dilayan. Justeru itu kepada siapa lagi harus dijadikan tempat untuk mengadu agaknya?. Banyak kesalahan dan penyelewengan yang telah dikenalpasti terhadap projek ini, antaranya :-

Bina Bangunan Kekal Di Atas Tanah TOL

Adalah difahamkan pembinaan projek berkenaan jelas sekali melanggar syarat nyata 
tanah TOL (Lesen Pendudukan Sementara) yang diperolehi secara "penipuan" oleh pemaju tanah terbabit. Tidak masuk akal langsung bangunan kekal didirikan ditanah TOL tanpa ada tindakan dan sekatan oleh pihak berkuasa. Walhal ia jelas sekali melanggar Akta Kanun Tanah Negara (KTN) Sek 125 KTN atas kesalahan melanggar syarat penggunaan tanah bahkan secara terang-terangan dan wajar dihukum mengikut Sek 129 (5) (b) KTN akta tanah terbabit sebenarnya.


Hampir siap, Inilah dia projek yang menjadi isu dan kontroversi itu.
Jelas, satu penyelewengan dan melanggar syarat nyata tanah terbabit
Kami difahamkan, pemilik tanah terbabit yang bergelar "Dato" telah mendapatkan tanah itu secara "penipuan" dengan membelakangkang pihak yang berkenaaan. Tanah itu sebenarnya adalah diserahkan olehPemaju Perumahan kawasan terbabit kepada jawatankuasa penduduk bagi digunakan sebagai kemudahan awam. Bahkan ia termaktub di dalam "master plan" taman perumahan itu. Susulan daripada itu pihak jawatankuasa taman dengan kerjasama surau telah memohon tanah tersebut untuk dijadikan tapak surau baru bagi kemudahan penduduk setempat. Ini memandangkan surau sementara sedia ada di kawasan itu kini telah dijadikan sebagai Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) sejak beberapa tahun lalu.

Tiada Papan Tanda Maklumat Projek

Jika pun bangunan kekal mahu didirikan atas tanah itu, sudah pasti satu syarat wajib iaitu papan tanda maklumat projek berkenaan perlu disediakan. Itulah prosedur yang biasa dilihat dalam mana-mana projek pembangunan sekali pun. Namun, kenapa bagi projek ini ia dibiarkan dan tidak ada tindakan oleh pihak berkuasa tempatan 
(Majlis Perbandaran Kuantan). Apakah mereka semua telah "ditutup mata" dan menjadi"kaku" untuk mengarahkan projek ini dihentikan agaknya.

Pejabat Tanah Tukar Fail Permohonan 

Permohona telah dibuat untuk mendapatkan tanah itu melalui 
Majlis Ugama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Pahang (MUIP) bagi dijadikan surau beberapa tahun yang lalu. Permohonan lengkap telah dihantar ke Pejabat Tanah Dan Daerah Kuantan dan hanya menunggu kelulusan pihak berkenaan sahaja. Ibarat "menanti bulan jatuh ke riba" rupa-rupanya ada permainan orang dalam yang mengarah pihak lain memohon tanah berkenaan. Dalam masa yang sama melambat-lambatkan proses permohonan yang dibuat oleh jawatankuasa surau dan taman terbabit. Akhirnya secara tiba-tiba dimaklumkan bahawa tanah itu telah diluluskan kepada "individu yang bergelar Dato" terbabit untuk dijadikan sebuah restoran bagi tujuan komersial. Difahamkan individu terbabit dengan kerjasama "proksinya" yang berkuasa hal tanah itu di Pejabat Tanah dan Daerah Kuantan. Lantaran itulah beliau telah memerapkan fail permohonan penduduk setempat sebaliknya menukarkannya dengan permohonan lain. Ini adalah tidak adil, tambahan pula individu terbabit dipercayai telah menipu MUIP dengan mengatakan permohonannya tanah itu disokong oleh jawatankuasa surau taman berkenaan, bagi dijadikan kemudahan untuk penduduk setempat.

Tipu Tanda Tangan Sokongan Permohonan

Malah beliau juga tidak mendapatkan 
"tandatangan" pengerusi jawatankuasa penduduk taman itu, sebaliknya menggunakan sokongan pengerusi taman bersebelahan. Ini adalah tidak logik dan masuk dek akal langsung. Maklumat diterima kerana proksinya yang bertugas sebagaiSettlement Officer (SO) di Pejabat Tanah dan Daerah Kuantan juga adalah jawatankuasa taman berkenaan. Difahamkan pengerusi taman berkenaan juga telah dipaksa menandatangani surat sokongan palsu dan dia sendiri tidak tahu menahu perkara yang sebenarnya berlaku. Tindakan ini adalah jelas satu penipuan dan penyelewengan yang nyata. Bukan sahaja tanah terbabit dirampas daripada kegunaan penduduk setempat untuk pembinaan surau kawasan itu, malah mereka dengan berani menipu kononnya mendapat sokongan jawatankuasa surau dan taman terbabit. Walhal perkara ini "tidak dihalalkan" oleh semua ahli jawatan kuasa surau dan penduduk (KRT) taman itu sebenarnya. Tindakan ini jelas mencabuli hak dan ternyata zalim sama sekali. Bahkan individu terbabit juga pernah memberi amaran berupa ugutan akan membuat tindakan sekiranya ada dikalangan penduduk setempat atau ahli jawatankuasa surau dan taman perumahan itu yang menganggu projek berkenaan.
"Menteri Besar Pahang, Exco-Exco, Pegawai Daerah, Pengarah PTG, Yang Di Pertua MPK dan seluruh Warga Kuantan dijemput hadir beramai-ramai dan membuat lawatan tapak ke projek berkenaan untuk melihat sendiri bukti-bukti kukuh tentang isu kontroversi ini"

* Untuk maklumat, gara-gara isu ini akhirnya surau terpaksa didirikan di kawasan lain atas padang permainan. Ini menyusahkan anak-anak untuk bermain bola dan sebagainya. Namun begitu, tapak terbabit masih diperlukan untuk dijadikan balairaya, dewan orang ramai atau kemudahan lain sebenarnya.
[Susulan daripada itu, pihak kami amatlah berharap agar Kerajaan Negeri Pahang pimpinan Dato' Seri Adnan Yaakob dapat mengambil perhatian terhadap perkara ini dan mengarahkan projek itu dihentikan serta merta. Satu siasatan yang rapi terhadap bukti-bukti penyelewengan dan rasuah berkenaan projek ini haruslah dilakukan segera. Bahkan, hak asal tanah itu yang sepatutnya diberikan kepada jawatankuasa surau dan penduduk setempat perlu dilakukan segera. Tidak ada unsur dengki mendengki dalam kes ini, ianya jelas sekali satu pencabulan atas dasar kepentingan peribadi pihak berkenaan. Kami juga mendapati kerja-kerja pembinaan premis berkenaan sudah 80% disiapkan biarpun ia jelas tidak mematuhi syarat nyata tanah terbabit. Satu laporan polis danSuruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia akan dibuat dalam masa terdekat ini jika projek itu diteruskan tanpa menghiraukan bantahan penduduk setempat selepas ini. Kami juga hairan dengan pihak Majlis Perbandaran Kuantan sendiri yang begitu tegas dan sanggup merobohkan rumah kediaman penduduk yang membuat penyambungan premis kediaman mereka tanpa kelulusan yang sah. Namun dalam kes ini mereka seolah-olah menutup sebelah mata dan takut untuk mengambil tindakan . Ingatlah amanat PM "Rakyat Perlu Didahulukan"].  

Tiada ulasan: