"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

ADUN Sanglang Dakwa Tidak Dibayar Elaun !!


KANGAR - Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sanglang, Hashim Jasin (foto) mendakwa bahawa beliau belum lagi dibayar elaun sebagai wakil rakyat dan berharap kerajaan negeri segera mengatasi perkara itu. Ketika membahaskan rang undang-undang Enakmen Perbekalan Tambahan Yang Pertama (2008) tahun 2009 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini, katanya beliau terpaksa mendedahkan perkara itu kerana tanpa elaun beliau sukar melaksanakan tugasnya. "Apakah kerajaan negeri tak ada duit langsung. Tanggungjawab sebagai wakil rakyat saya kena buat," katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Perlis. Pemimpin Pas berusia 60 tahun itu berkata elaun itu amat diperlukan kerana wang itu akan digunakan bagi membantu golongan yang memerlukan. Pada 16 September 2008,Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan Hashim sebagai pemenang kerusi Dewan Undangan Negeri Sanglang pada pilihan raya umum ke-12 pada 8 Mac tahun lalu berikutan kesilapan pengiraan undi. Akibat kesilapan pada borang 14 (Penyata Pengundian Selepas Pengiraan Undi), calon Barisan Nasional (BN) Abdullah Hassan diisytiharkan menang bagi kerusi itu dengan majoriti 149 undi. Kerana tidak berpuas hati, Hashim mengemukakan petisyen pilihan raya pada 24 April 2008 yang kemudiannya membawa kepada pengisytiharannya sebagai ADUN Sanglang oleh Mahkamah Persekutuan. Sementara itu, Menteri Besar, Md Isa Sabu berkata, beliau hanya mengetahui perkara itu hari ini dan berjanji akan menyelesaikan masalah itu.

[Adalah amat tidak munasabah Menteri Besar tidak tahu elaun wakil rakyat terbabit tidak dibayar sebenarnya. Atau mungkin, pihak terbabit sengaja melambat-lambatkan dan tidak mahu membayar elaun ADUN PAS yang berjaya merampas semula kerusi DUN berkenaan daripada calon BN Abdullah Hassan itu. Mungkin juga ia sebagai pengajaran kepada Pesuruhjaya PAS itu agaknya. Justeru itu selaras dengan hasrat Perdana Menteri. Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu melakukan perubahan dalam pemerintahannya, maka perkara seperti ni sepatutnya tidak lagi berlaku dalam politik di Malaysia ini. Semua wakil rakyat tidak harus dinafikan hak masing-masing biarpun mereka adalah dari Pakatan Rakyat].

Tiada ulasan: