"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ahli dipecat bawa kes PPP ke ROS, SPRM


Seorang daripada tujuh anggota Parti Progresif Penduduk (PPP) yang dipecat semalam oleh Lembaga Displin parti itu menyatakan beliau tidak akan merayu terhadap pemecatan itu, sebaliknya akan membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pendaftar Pertubuhan (ROS) supaya menyiasat akaun parti itu.

"Saya tidak akan membuat rayuan kerana tindakan yang diambil oleh parti (pemecatan) adalah tidak sah... kenapa saya mahu merayu. Itu bermakna saya menerima keputusan yang dibuat secara tidak sah," kata ketua PPP Cawangan Brickfields Utara M. Jeyaratnam kepada pemberita di Ipoh hari ini.

Jeyaratnam yang juga pegawai khas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T. Murugiah - yang turut dipecat - berkata beliau akan membuat laporan rasmi kepada ROS Selasa ini berhubung status akaun dan laporan tahunan parti berkenaan yang didakwanya tidak dikemaskini sejak 2002.

Murugiah yang juga anggota Majlis Tertinggi PPP adalah antara yang dipecat oleh lembaga disiplin parti itu selepas membincangkan keputusan yang dibuat oleh Majlis Tertinggi PPP 9 Mei lalu, lapor Bernama.
Jeyaratnam berkata beliau akan berbincang dengan peguam mengenai tindakan selanjutnya bagi membersihkan nama beliau. 

Katanya, mesyuarat Majlis Tertinggi PPP pada 9 Mei itu juga melanggar perlembagaan parti kerana hanya tujuh anggota MT yang sah menghadirinya dan keanggotaan itu adalah mengikut laporan tahunan 2002 kepada ROS.

"Hanya tujuh daripada ahli MT berada dalam rekod ROS... mengikut perlembagaan parti sekurang-kurang separuh atau 20 daripada 41 ahli MT mesti menghadiri mesyuarat," katanya.

Selain Murugiah dan Jeyaratnam, anggota lain yang dipecat adalah N Shanmuganathan, K Tanggaraju, S Kanesan, S Saravanan dan R Rajandran.

Sementara itu, Shanmuganathan berkata beliau juga tidak akan membuat rayuan kerana mendakwa pemecatan yang dibuat itu sebenarnya tidak bermakna kerana PPP bukan lagi sebuah parti yang "sah".

Beliau berkata apabila PPP tidak mengemukakan penyata tahunan sejak 2002, parti itu bergerak secara haram.

Katanya, beliau percaya ROS telah menjalankan siasatan terhadap PPP berikutan pelbagai aduan yang dibuat sebelum ini dan akan mengambil tindakan membatalkan PPP.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: