"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PKR Perlis sah terima kemasukan ahli Umno

 Abdul Rahim Sabri 
Pengerusi Perhubungan PKR Perlis, Johari Shafie berkata memang terdapat ahli Umno di negeri itu, yang memohon borang keahlian untuk menyertai parti tersebut sejak bulan lalu.

"Kebanyakannya dari bahagian Kangar, terutama sekali di DUN Kuala Perlis," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Sehingga ini, kata beliau, pihaknya telah menerima semula hampir 200 borang keahlian untuk menyertai PKR.

"Dijangka masih ada lagi yang akan hantar. Kita akan berusaha untuk tambah lagi ahli. Lagi banyak lagi bagus," katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat memastikan berapa ramai lagi ahli Umno yang akan menyertai PKR.

"Saya tak berani nak cakap, terpulang kepada mereka. Kita tunggu borang," katanya.

Pemimpin hasrat sertai Umno

Johari berkata demikian sebagai mengulas laporan bahawa kira-kira 1,000 ahli-ahli Umno melompat parti menyertai PKR secara terbuka di Perlis, khususnya di Kangar, bulan lalu.

Perkara tersebut menimbulkan tandatanya apakah ianya tanda membantah pelantikan Menteri Besar, Datuk Seri Md Isa Sabu sebagai pengerusi Umno negeri yang baru.

Dr Md Isa yang juga ADUN Bintong, merupakan ketua Umno bahagian Kangar.

Dalam perkembangan berkaitan, Johari berkata, beliau juga turut dihubungi seorang pemimpin Umno yang menyatakan hasratnya untuk menyertai PKR.

Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan identiti pemimpin Umno tersebut.

"Kita terima siapa sahaja, tak ada masalah," katanya.

Cawangan baru DAP


Semalam, Malaysiakini melaporkan bahawa bekas Ketua Penerangan Umno Perlis, Datuk 
Hashim Suboh berkata, beliau sedang memikirkan sama ada akan kekal dalam Umno atau menyertai pembangkang.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Perhubungan DAP bagi Kedah dan Perlis, Vincent Wu menjelaskan enam cawangan baru DAP ditubuhkan di Perlis.

Katanya, ia termasuk dua cawangan - masing-masing satu di Kangar dan Parlimen Padang Besar - dengan lebih 150 ahli.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat memastikan sama ada ahli baru itu datang dari kalangan ahli MCA ataupun tidak.

Manakala empat cawangan lagi masih dalam proses pengumpulan ahli untuk membolehkan penubuhan secara rasmi.

Katanya, keempat-empat cawangan tersebut, masing-masing satu di DUN Kuala Perlis dan DUN Beseri, manakala dua lagi cawangan di Parlimen Arau.

Majlis penyerahan borang keahlian dan penubuhan cawangan telah disempurnakan oleh ahli parlimen Ipoh Barat, Lim Kit Siang dua minggu lalu, tambahnya.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: