"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ahlan wahsahlan ke Penanti Untuk Petugas Pakatan Rakyat

Mohd Sabri Said 
Thu | May 21, 09

Ahlan wahsahlan... diucapkan kepada semua petugas Pakatan Rakyat dari seluruh negara yang bakal dipertemukan di Dewan Undangan Negeri (Dun) N12 Penanti bermula hari penamaan calon pada 23 Mei sehinggalah selesai hari pengundian 31 Mei 2009.

Sekali lagi Penanti khususnya Yayasan Aman akan menjadi tuan rumah kepada jentera gabungan Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional (BN) untuk merebut kerusi panas yang ditinggalkan oleh penyandangnya, Mohamad Fairus Khairudin.

Bagi Pakatan Rakyat kemenangan di N12 begitu penting untuk memperlengkapkan jentera pentadbiran negeri yang diketuai oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng. Di mana forfolia Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang akan diisi semula bagi mengembalikan hala tuju negeri.

Manakala BN khususnya Umno pasti mencari peluang untuk kembali dipercayai setelah terseret dengan kekalahan demi kekalahan dalam pilihan raya kecil sebelum ini.

Kemenangan ini juga dipercayai menjadi kayu pengukur buat Umno apabila diisytiharkan sebagai pembangkang. Mungkin mereka akan jadi pembangkang yang lebih kuat selepas ini di bawah kendalian Adun Penaga, Dato' Azhar Ibrahim.

Penanti mempunyai pengundi seramai 12,421 dan 10 Pusat Mengundi iaitu Sekolah Rendah Guar Perahu, Sekolah Rendah Penanti, Sekolah Menengah Penanti, Sekolah Rendah Tanah Liat (dua saluran), Sekolah Rendah Jit Sing, Sekolah Menengah Mengkuang, Sekolah Rendah Mengkuang dan Dewan Orang Ramai Kampung Sardon.

Semasa pilihan raya umum lalu calon KeADILan, Mohamad Fairus Khairudin memperolehi 7,348 mengalahkan calon BN merangkap Ketua Bahagian Umno Permatang Pauh yang juga penyandang sebelum itu, Dato' Abdul Jalil Abdul Majid yang memperolehi 5,229 iaitu majoriti sebanyak 2,119 undi.

Pakatan Rakyat berjaya memenangi kesemua JDM di Penanti iaitu di Guar Perahu, Sungai Lembu, Sungai Semambu, Penanti, Kuala Mengkuang, Mengkuang, Tanah Liat Mukim 9, Jalan Berapit, Teluk Wang dan Kubang Ulu.

Walaupun Pakatan Rakyat menang di semua JDM tetapi masih ada kemenangan tercatit di dua JDM itupun hanya di saluran satu Kuala Mengkuang dan Guar Perahu.

Anak muda boleh dikatakan memberi sokongan padu pada Pakatan Rakyat, hanya segelintir golongan veteran sahaja masih bergantung harap pada BN.

Di saluran 1 JDM Kuala Mengkuang BN mencatatkan kemenangan 199, KeADILan 125 manakala di Guar Perahu pula BN menang 141 KeADILan 140 undi.

Semasa pilihan raya kecil kali ini pihak KeADILan sekali lagi menjadikan Yayasan Aman di Kubang Semang sebagai Bilik Gerakan Utama Parlimen Permatang Pauh dan rumah papan bertiang tinggi di hadapan Masjid Kubang Semang sebagai Bilik Gerakan KADUN Penanti.

Bukan itu sahaja, sebut sahaja Penanti tentu tidak lepas daripada benak individu tentang sebuah Madrasah Manabil Ulum, Kubang Ulu yang berjaya melahirkan cerdik pandai Islam sejak dulu lagi.

Akibat kepesatan pembangunan setempat madrasah berkenaan telah berubah selari dengan kemajuan negeri dan negara di mana telah wujud pondok moden yang lebih cantik.

Satu lagi kelainan yang berlaku di Dun Penanti kali ini ialah Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) telah menetapkan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Mengkuang sebagai tempat penamaan dan pengiraan undi bukan lagi di Maktab Perguruan Tungku Bainun sebagaimana lazimnya.

Justeru, untuk menjamin kesejahteraan, kemakmuran dan perpaduan Pakatan Rakyat harus menghindarkan prasangka sesama sendiri demi mencapai kemenangan yang muklak.

Untuk membebaskan diri daripada belenggu kekalahan semua jentera Pakatan Rakyat tidak kira KeADILan, PAS dan DAP kena bermaufakat dengan baik kerana kemenangan penting untuk menentukan hala tuju Kerajaan Negeri seterusnya.

Tiada ulasan: