"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Isu MB: ADUN T'ganu kecewa dengan Muhyiddin

 Muda Mohd Noor 
Ada di kalangan 18 ADUN BN Terengganu yang sebelum ini mahu Menteri Besar Datuk Ahmad Said disingkirkan, kecewa dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa menteri besar itu, akan dikekalkan.

Menurut mereka, kenyataan tersebut "terlalu awal" kerana perjumpaan dengan Pengerusi Umno negeri itu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein belum diadakan.

Seorang ADUN yang enggan namanya disiarkan berkata, sepatutnya kenyataan itu dibuat selepas perjumpaan dengan Hishamuddin diadakan malam Rabu ini.

Hishammuddin dijadualkan mengadakan perjumpaan dengan ADUN dan ketua Umno bahagian Terengganu itu, di pejabatnya di kementerian dalam negeri di Putrajaya.

Bagaimanapun, kata ADUN berkenaan, beliau akan cuba menimbulkan isu sebenar dalam perjumpaan dengan Hishammuddin tersebut, iaitu Ahmad mesti diganti.

"Ini fokus sebenar 18 ADUN berkenaan. Kami berjuang untuk kepentingan parti, negeri Terengganu dan rakyat negeri itu.

"Walau apapun, kumpulan kami tetap patuh kepada arahan pucuk pimpinan parti," katanya tanpa mengulas lanjut.

Semasa bercakap kepada wartawan di Kuala Terengganu sempena pelancaran hari guru peringkat kebangsaan Sabtu lalu, 
Muhyiddin dilaporkan berkata, Ahmad akan kekal sebagai menteri besar.

Sementara itu, seorang pembantu Ahmad berkata, ADUN kumpulan 18 itu boleh membangkitkan perkara itu kepada Hishammuddin dalam perjumpaan Rabu ini.

Menteri besar, tegasnya, akan bersikap terbuka dalam hal ini.

"Ahmad tiada masalah walaupun telah diturun pangkat dari jawatan pengerusi Umno Terengganu kepada timbalan pengerusi," katanya.

Pembantu Ahmad itu berkata, Hishammuddin mungkin boleh mengambil apa-apa tindakan berhubung urusan parti, tetapi pelantikan Ahmad sebagai menteri besar dibuat oleh pihak Istana.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: