KUALA LUMPUR, 21 Mei (Hrkh) - Penindasan sesama Umno sehingga menyebabkan ramai yang bertindak keluar dari parti itu adalah bukti awal yang jelas tentang kegagalan hasil mengelamun Perdana Menteri yang diriuh-riuhkan sebagai konsep Satu Malaysia, kata Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar. "Dalam Umno pun (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) gagal mewujudkan Satu Umno, tidak perlu cakaplah tentang Satu Malaysia," katanya mengulas tindakan ahli-ahli Umno di Perlis yang bertindak keluar dari parti itu dan menyertai menyertai pembangkang. Dengan apa yang berlaku itu, Ahli Parlimen Pokok Sena menggesa rakyat segera sedar tentang sifat sebenar Umno. "Sesama Umno, sesama Melayu pun ditindas, dipecat dan dizalimi, tidak ada lagi keadilan yang boleh diharapkan dari Umno yang kelihatan semakin bersungguh-sungguh mempelopori penindasan ke atas sesiapa sahaja yang tidak disukainya," kata beliau. Mahfuz mengalu-alukan kebijaksanaan ahli-ahli Umno yang keluar dari parti itu dan menyertai Pakatan Rakyat (PR). "Dengan penuh ketulusan kita menghulurkan tangan kepada mereka dan saya yakin tindakan mereka itu pasti mengukuhkan lagi tali silaturrahim antara sesama umat Islam dan rakyat Malaysia," kata beliau. Mengulas apa yang berlaku itu, bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, mereka yang keluar Umno itu termasuk ketua cawangan dan bekas ketua cawangan parti itu di Perlis yang tidak puas hati dengan tindakan kerajaan negeri membuang mereka dari jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK). Menurut beliau, pemecatan ahli JKKK itu berlaku di Pauh, Kuala Perlis, Titi Tinggi, Santan, Mata Air dan Beseri. "Setakat ini 16 atau 17 ketua cawangan dan bekas ketua cawangan telah dibuang dari JKKK, menyebabkan mereka dan yang lainnya, tidak puas hati. "Ketua cawangan dan bekas ketua cawangan Umno dipinggir dan kerajaan negeri tidak mengambil kisah perkara tersebut. "Pembangkang pula telah mengambil kesempatan daripada perkara tersebut," katanya kepada Malaysiakini. Sementara itu, bekas Ketua Penerangan Umno Perlis, Datuk Hashim Suboh berkata, tindakan ahli Umno menyertai pembangkang bukan sahaja berlaku di bahagian Kangar tetapi juga di Padang Besar. "Saya kenal mereka itu semua. Mereka adalah bekas pemimpin Umno di Kangar. "Betullah angka itu," katanya ketika diminta mengulas laporan Malaysiakini semalam bahawa 1,000 ahli Umno di bahagian tersebut menyertai PKR. Hashim juga sedang memikirkan sama ada akan kekal dalam Umno atau menyertai pembangkang. "Saya sedang menilai hala tuju politik saya, ke manakah arah politik saya. "Takkan saya hendak tunggu saya naik ke atas. Apa yang berlaku ini sedang menjadi perhatian saya. "Bukan soal saya menunggu tawaran, jika keadaan sudah tidak sesuai, mahu tunggu apa lagi" katanya kepada Malaysiakini. Sementara itu, seorang pemimpin Umno bahagian Padang Besar, ketika dihubungi Malaysiakini, juga mengakui ramai ahli Umno di bahagian itu yang keluar parti. Bagaimanapun pemimpin yang enggan namanya disiarkan itu tidak dapat memberi angka sebenar ahli Umno yang keluar parti. Katanya, mereka bertindak demikian kerana marah kepada pemimpin MCA bahagian yang membuang ahli JKKK di beberapa tempat di Padang Besar. "Mana boleh pemimpin MCA memecat ahli JKKK yang terdiri daripada ahli-ahli Umno," katanya. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan