"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jentera Pilihan Raya Pakatan Rakyat Perak Digerakkan Serta Merta

 

   

Jentera pilihan raya Pakatan Rakyat Perak telah diarahkan bersiap sedia dengan serta merta bagi menghadapi kemungkinan pembubaran Dewan Undangan Negeri pada bila-bila masa.

Menurut Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Pakatan Rakyat (BBC), Drs Khalil Idham Lim Abdullah mesyuarat pemimpin Pakatan Rakyat Perak yang diadakan semalam di Ipoh telah memutuskan supaya setiap parti komponen gagasan itu menggerakkan jentera pilihan raya masing-masing dengan segera.

"Kita telah membuat keputusan supaya jentera pilihan raya negeri digerakkan dengan segera. Kami telah pun memulakan siri ceramah dan sesi penerangan kepada petugas-petugas parti masing-masing untuk memastikan semuanya siap siaga untuk menghadapi pembubaran DUN bila-bila masa sahaja.

"Pakatan Rakyat yakin jentera pilihan raya di semua peringkat sejak bermulanya krisis politik Perak telah pun bersiap sedia dan kita akan mempastikan semuanya berjalan lancar sekiranya pengumuman pembubaran dibuat dalam masa terdekat," kata Ahli Dewan Undangan Negeri Titi Serong itu ketika dihubungi TV Antara.

Drs Idham Lim berkata indikasi terpenting bila pilihan raya baru itu bakal diadakan akan terserlah apabila Mahkamah Rayuan membuat keputusan berhubung rayuan Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir terhadap keputusan Mahkamah Tinggi esok.

Pada 11 Mei lalu Mahkamah Tinggi Putrajaya memutuskan bahawa Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin adalah Menteri Besar Perak yang sah sejak beliau memegang jawatan tersebut pada 13 Feburuari 2008.

Walau bagaimana keesokkannya Dr Zambry telah membuat rayuan kepada Mahkamah Rayuan pada sebelah pagi dan keputusan membenarkan penangguhan keputusan Mahkamah Tinggi itu diberi tidak sampai empat jam setelah permohonan dikemukakan beliau.

"Kalau keputusan esok memihak kepada Pakatan Rakyat sudah pasti Datuk Seri Nizar akan memohon mengadap baginda 

Sultan untuk memohon pembubaran DUN secepat mungkin.

"Kalau keputusan sebaliknya memihak kepada Zambry maka kemelut politik Perak masih tidak berubah dan penyelesaiannya juga tetap berbalik kepada jalan pembubaran DUN.

"Jadi apapun keputusan esok tidak akan menukar pendapat rakyat Perak bahawa DUN perlu dibubarkan segera mungkin supaya rakyat dapat memilih sekali lagi kerajaan yang sah," kata beliau lagi.

Drs Idham Lim juga berkata beliau berharap semua wakil rakyat Pakatan Rakyat yang sedia ada dikekalkan sebagai calon pada pilihan raya negeri yang baru sebagai penghargaan kepada komitmen mereka.

"Saya berharap sebagai Pengerusi BBC berharap ADUN-ADUN Pakatan Rakyat sekarang dikekalkan oleh oucuk pimpinan parti masing-masing kerana mereka telah membuktikan kesetiaan mereka dengan tidak mudah dibeli atau diugut oleh BN," kata beliau lagi.

Beliau juga mendedahkan daripada maklumat yang diperolehinya parti-parti komponen BN Perak juga memutuskan senarai calon-calon mereka yang bakal bertanding pada pilihan raya negeri nanti.

_TVAntara.com.my-

Tiada ulasan: