"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Manek Urai: HIKAYAT KATAK ` SI TANGGANG' DI PASIR MAS


Katak Al Kataki Pasir Mas?
Oleh: WFAUZDIN NS

SAHIBUL HIKAYAT, tersebutlah kisah politik di zaman binatang di sebuah negeri bernama Kelantan. Diceriterakan orang, kisah seekor katak di Pasir Mas yang teramat popular di gelar `Al Kataki'. Nama gelaran Al Kataki itu amat sinonim dengan kelakuan, tabiat serta rupa bentuk nya. Dulu beliau `penjilat' sebuah parti yang popular dan berpengaruh dalam sebuah kerajaan. Tetapi apabila dilihatnya parti tersebut seperti seakan nak rebah, Al Kataki melompat keluar kononnya atas dasar prinsip perjuangan `spesis katak-katak' sedunia. Maka, duduk la si katak ini bawah tempurung parti baru yang diharapkannya boleh menggantikan kerajaan parti lamanya itu.

Malang sekali, parti yang beliau harapkan itu dibubarkan kerana tidak mendapat sokongan dan tidak boleh cari makan lagi. Maka `spesis-spesis katak' di dalamnya melutut merayu dan menyembah masuk semula ke dalam parti asal mereka. Maka, dapatlah dua tiga ekor katak ini makan semula dalam parti lamanya itu termasuk katak Al Kataki. Hatta, entah kenapa Al Kataki di`sepak' keluar dari parti tanpa sebab. Ada yang mengatakan bau katak yang ada pada diri Al Kataki ini terlalu `busuk' dari katak-katak yang lain, maka beliau ditendang keluar. Malang sungguh nasib Al Kataki ini. Melompatlah katak seekor ini balik ke kubangnya di Pasir Mas dengan perasaan hiba duka dan nestapa. Maka, akibat terlalu amarahnya si katak tersebut dengan bos parti yang menendangnya keluar, maka siang dan malam katak ini berbunyi lantang sampai terkencing terberak di merata-rata bumi Pasir Mas sehingga ke seluruh negeri. Tiadalah yang baik-baik keluar dari mulut si katak tersebut tentang parti lamanya itu melainkan buruk-buruk belaka.

Dikisahkan orang, dalam satu pertandingan di negerinya, si katak menawarkan diri beradu kekuatan dengan sekumpulan puak termasuk dari kumpulan parti lamanya. Kononnya, si katak ingin membuktikan bahawa beliau amat hebat berbanding dari puak-puak lain di kawasannya. Tetapi, malang menimpa lagi si katak ini kerana beliau bukan sahaja tewas dengan teruk, bahkan hampir `mati katak' di Pasir Mas. Beliau tidak putus asa, dicubanya lagi dalam pertandingan yang lain tetapi keadaannya masih serupa dan sekali lagi beliau hampir `mati katak'. Mungkin bau yang ada pada tubuhnya membuatkan sial terhadap dirinya. Maka, teramat sedih dan pilu hati si katak ini mengenangkan nasibnya tidak seperti kawan-kawan `sekatak'nya yang lain itu.

Arakian, tersebarlah cerita kisah duka nestapa katak ini ke pengetahuan tuan empunya negeri bernama Kelantan tempat asal usul Al Kataki ini. Tuan empunya negeri amat bersimpati dengan katak bernama Al Kataki ini dan telah diambil untuk dipelihara di bawah rumah kerana baunya yang masih tidak hilang itu tidak sesuai berada di dalam rumah. Meskipun berada di bawah rumah tuan punya negeri, katak tetap tidak berpuas hati dan dendam terhadap parti lamanya, maka ia berbunyi memaki hamun puak-puak dalam partinya dulu yang mengakibatkannya derita dan hilang segalanya. Hatta kerana kesihan akan nasib si katak ini, maka di dalam satu pertandingan yang lain tuan punya negeri menawarkan Al Kataki masuk bertanding. Diperturunkanlah segala ilmu buat si katak itu untuk berdepan dengan puak parti lamanya. Amat gembiralah si katak kerana inilah peluang beliau untuk menunjukkan kehebatannya kepada bos parti lamanya. Maka dipinjamkan persalinan pakaian yang indah-indah kepada si katak ini beserta dengan senjata yang canggih-canggih untuk berdepan dengan puak dari parti lama yang didendaminya itu. Ditakdirkan, dengan sokongan dan bantuan serta sorakan dari puak-puak penyokong tuan empunya negeri, si katak telah menang dengan bergayanya. Maka, bertambahlah kuat suaranya kerana menganggap beliau sememangnya hebat kerana dapat menewaskan musuh dari parti lamanya. Si katak ini semakin hari semakin lupa kepada tuan empunya negeri dan tempat tempurung beliau menumpang.

Ibarat kisah si Tanggang, Al Kataki semakin ego, sombong dan lupa diri. Di dalam keadaan baunya yang tetap sama, katak tidak pernah menunjukkan tanda-tanda berterima kasih kepada si empunya negeri. Bila sudah terasa kuat kononnya, si katak mula berangan untuk kembali ke pangkuan parti asalnya kerana ia tahu makanan yang disediakan di sana pasti lebih hebat. Maka bermulalah si katak ini berlagu mendayu-dayu memuji memuja bos parti lamanya walaupun semua yang mendengar suara garau si katak itu teramatlah sumbang bunyinya. Sehinggalah kini, katak tersebut masih berlagu sumbang sambil mengeluarkan bau yang teramat busuk.

Tuan empunya negeri tidak lagi mampu untuk menyedarkan si katak ini, lantas mengeluarkan tempurung bekas tempat tinggal si katak ini dan diletakkan di tepi jalan. Tuan empunya negeri pun berkata, "Barangsiapa yang terjumpa tempurung berisi katak hina ini, jika mereka ingin memeliharanya bolehlah mengambilnya." Tetapi, sampai sekarang tiada siapa yang teringin untuk memelihara katak busuk lagi hina tersebut. Tinggallah katak tersebut di tepi jalan keseorangan sambil menyanyi siang dan malam mengharapkan sesiapa yang lalu mengambilnya di tepi jalan dan longkang itu. Barangsiapa yang melalui jalan tempat katak itu tinggal, pasti akan termuntah seminggu akibat bau dan mendengar suara garau nyanyiannya.

Mungkin sampai masanya nanti, katak yang berperangai `Tanggang' ini akan sedar siapa dirinya. Harap-harap katak ini tersedar dari kesombongannya sebelum ia dilanggar lori di tepi jalan itu yang mengakibatkan ia `mati katak'. Kisah katak tersebut tidak akan berakhir di sini kerana diberitakan orang, katak tersebut akan diangkut dan dipamirkan di dalam zoo di Manek Urai pula untuk tontonan sesiapa yang larat mendengar suara garaunya itu.
http://wfauzdin.blogspot.com/

Tiada ulasan: