"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Umno/PAS: Utusan Malaysia semakin menghiburkan

Bacalah apa tersirat dalam laporan Utusan Malaysia di bawah. Berita Harian juga mengambil dari sumber yang sama. Tetapi, mungkin editor Berita Harian tidak sehebat editor Utusan Malaysia. Tak perlu marah-marah. Utusan Malaysia mempunyai hak demokratik untuk menulis berita dengan gayanya yang tersendiri. Lagipun, di zaman Internet ni, kawan saya kata "every citizen is a jounalist". Anda boleh melaporkan dengan jujur.
Nik Aziz mohon maaf kepada Nasharuddin

Utusan Malaysia (23/6/09): Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini memohon maaf serta menarik balik semua kenyataan yang dilemparkan kepada Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa termasuk meminta beliau meletakkan jawatan dalam parti itu.

Nik Aziz memberitahu, segala isu di antara beliau dengan Nasharuddin tidak lagi berbangkit.

''Setelah berbincang dalam perjumpaan khas di Ibu Pejabat Agung Pas dalam semangat kekeluargaan menangani masalah dalam beberapa isu politik yang dibesarkan oleh media, kami bersetuju melupakan perihal salah tanggapan di antara pimpinan atasan parti akibat permainan politik murahan UMNO,'' katanya.

Nik Aziz membacakan kenyataan akhbar selepas mengadakan perjumpaan khas di antara beliau dengan Nasharudin di sini hari ini.

Perjumpaan khas itu turut dihadiri Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; ketiga-tiga Naib Presiden iaitu Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar.

Nik Aziz sebelum ini meminta Nasharudin meletak jawatan daripada parti dan menyertai UMNO jika beliau terus mendesak meneruskan idea kerajaan perpaduan dengan UMNO.

Abdul Hadi pada hari pertama muktamar parti itu di Shah Alam pada 5 Jun lalu mempertahankan ideanya untuk melaksanakan konsep kerajaan perpaduan kerana yakin ia mampu menyelesaikan banyak masalah yang berlaku di negara ini.

Katanya, pemimpin-pemimpin Pas bersama dalam satu saf yang padu untuk terus bersama memperjuangkan keazaman parti bagi mendaulatkan Islam di persada tanah air.

''Kami juga bersetuju sebulat suara polemik kerajaan perpaduan dihentikan serta merta seperti mana diputuskan oleh Presiden Pas bersama pimpinan pakatan dalam kenyataan bersama di bangunan Parlimen yang menolak sepenuhnya idea itu,'' katanya.

Nik Aziz tarik balik kenyataan terhadap Nasharuddin

Berita Harian (23/6/09): Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, semalam menarik balik kenyataan beliau terhadap Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa, yang mahu Ahli Parlimen Bachok itu melepaskan semua jawatannya sekiranya menyokong cadangan kerajaan perpaduan.

"Saya selaku Mursyidul Am Pas menarik balik segala kenyataan saya terhadap Nasharuddin dan dengan itu ia tidak berbangkit lagi," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin tertinggi parti itu di Ibu Pejabat Pas, Jalan Raja Laut di sini, semalam.

Menteri Besar Kelantan itu, meminta Nasharuddin meninggalkan Pas selepas beliau mengeluarkan kenyataan yang menyambut baik hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bagi mengadakan perbincangan dengan Pas mengenai kerajaan perpaduan.

Nik Abdul Aziz yang menentang sekeras-kerasnya cadangan kerajaan perpaduan yang diilhamkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, membidas Nasharuddin dan menganggap tindakan pemimpin nombor dua parti itu sebagai sampah.

Pada pertemuan yang dihadiri Abdul Hadi, Nasharuddin dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali, Nik Abdul Aziz berkata polemik mengenai kerajaan perpaduan sudah berakhir.

Katanya, keputusan untuk menghentikan polemik mengenai kerajaan perpaduan dibuat presiden parti itu sendiri bersama pemimpin Pakatan Rakyat yang lain dan menolak sebarang perbincangan mengenai perkara itu dengan Umno dan Barisan Nasional (BN).

"Kami akhirnya bersetuju sebulat suara melupakan perihal salah tanggapan yang berlaku di antara pimpinan atasan parti akibat daripada permainan politik murahan Umno dan akhbar aliran perdana mengenai kerajaan perpaduan.

"Dengan berakhirnya kemelut ini juga, kami semua pimpinan tertinggi parti ini akan turun beramai-ramai pada hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil DUN Manek Urai, Kuala Krai, bagi memberi sokongan," katanya.
http://penarikbeca.blogspot.com/

Tiada ulasan: