KUALA KRAI, 25 Jun (Hrkh) - Biar pun PAS akan mengumumkan nama calon bagi mempertahankan Dun Manek Urai malam esok, namun Umno masih lagi berteka teki. Keadaan nampak bercelaru apabila Dato' Seri Najib Razak seakan-akan belum pasti bila calon Umno akan diumumkan. Perdana Menteri sekadar menyebut hari Ahad ini, namun ia tidak lebih sebagai satu kemungkinan sahaja. Presiden Umno juga seperti berlepas tangan apabila pengumuman calon tersebut hanya diwakilkan kepada timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Ini memperlihatkan Umno tidak yakin untuk membawa cabaran di Dun Manek Urai, biarpun menguar-uarkan mampu merampas Dun terbabit. Di tengah-tengah kekalutan itu pula kedengaran nada kecewa diluahkan beberapa pemimpin Umno kerana mereka seperti dipinggirkan. Antaranya, bekas Ketua Pemuda Umno Kuala Krai, Zulkefli Omar yang juga bekas Adun Manek Urai pada penggal lalu. Difahamkan beliau tidak lagi turun berkempen sebagaimana sebelum ini memandangkan namanya telah dicicirkan Umno Kelantan. Sedangkan beliau dikatakan sudah lama keluar masuk kampung sebaik sahaja mendengar berita Haji Ismail Yaakob (Paksu Wil) terlantar sakit. "Zuki datang menemui penduduk di banyak tempat termasuk di Kampung Budi, Chuchuh Puteri, Sungai Sok dan Manek Urai Lama. Beliau datang ke rumah penyokong Umno di kampung terbabit. "Bekas Adun itu juga pernah ditemui di kedai kopi di Budi ketka mengadakan pertemuan dengan penyokong Umno di situ. Tetapi sehari dua ini beliau tidak kelihatan lagi," kata seorang penduduk di Manek Urai Lama. Nama Zulkifli atau lebih dikenali sebagai Zuki di kalangan masyarakat dikatakan sudah tercicir, biar pun ada pengalaman untuk mewakili Umno pada pilihan raya kecil Dun berkenaan. Manakala di Laloh di kalangan penyokong Ketua Wanita Umno Kuala Krai, Rohani Abdul Majid juga sudah kedengaran rasa kecewa apabila nama Kak Ani dicicirkan dari awal lagi. Seorang penduduk memberitahu kemungkinan besar penyokong Kak Ani tidak akan bekerja membantu kempen Umno pada pilihan raya itu kerana Perhubungan Umno Kelantan mengenepikan Kak Ani. Sedangkan katanya, Kak Ani seorang pemimpin tempatan yang mempunyai pengalaman luas di Manek Urai memandangkan terbabit dengan Umno sejak muda lagi. "Kami sungguh kecewa dengan tindakan pihak atasan yang mengenepikan suara akar umbi kerana semata-mata mahu memberi laluan kepada pihak lain bertanding," kata seorang penyokongnya. Situasi yang sama juga dikatakan berlaku di Manek Urai Lama, tempat Kak Ani tinggal. Penyokong dan keluarganya dikatakan tidak lagi agresif berkempen. Seorang penduduk memberitahu Umno Kelantan hanya mahu memberi peluang kepada bukan anak tempatan bertanding di Manek Urai seperti berlaku pada 2004 apabila Zuki yang tinggal di Kuala Krai bertanding di Dun berkenaan. Katanya, anak tempatan di Manek Urai diketepikan begitu sahaja, sedangkan mereka juga sudah lama bergiat dalam parti dan mempunyai pengaruh di kampung tersebut. Antaranya pemimpin bukan tempatan yang cuba diketengahkan di Manek Urai iaitu Ketua Pergerakan Pemuda Umno Kuala Krai, Tuan Aziz Tuan Mat dan bekas Adun Mengkebang, Azizuddin Hussien. Manakala anak tempatan yang difahamkan mendapat sokongan padu Ketua Bahagian Kuala Krai, Dato' Ramzi Abdul Rahman iaitu naib ketua bahagian, Che Jalal Muda. Beliau tinggal berhampiran Pejabat Perhutanan di Manek Urai Baru. Namun beliau difahamkan kurang menjadi pilihan kepada Perhubungan Umno Negeri yang lebih cenderong kepada Tuan Aziz, yang kini berkhidmat sebagai pegawai Kesedar. Tuan Aziz menjadi pilihan memandangkan Che Jalal mempunyai hubungan rapat dengan Ramzi yang pernah menjadi orang harapan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Sementara itu, PAS akan mengumumkan nama calon malam esok bertempat di Markas Kampung Manek Urai Lama pada majlis ceramah yang diadakan. Ketua Penerangan PAS Kuala Krai, Arifabillah Ibrahim berkata, pengumuman nama calon yang dilakukan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat. Katanya, hadir sama pada program itu Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Pengarah Pilihan Raya KeADIlan, Saifuddin Nasution. "Program tersebut dijangka mendapat sambutan ramai di kalangan penduduk tempatan kerana mereka mahu melihat dari dekat wajah pemimpin yang akan menggantikan Paksu Wil," katanya. Kesesakan lalu lintas dijangka teruk berlaku petang esok sehingga berakhir ceramah memandangkan laluan ke kampung tersebut hanya melalui sebuah jambatan sempit yang merentangi Sungai Lebir. Selain itu jalan di Manek Urai lama juga agak sempit agak sukar untuk menerima limpahan kenderaan. Apa yang pasti itulah sebahagian kemeriahan pilihan raya. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan