"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

AJK PAS: Kalau saya pergi malam ini saya terima - Mat Sabu

Bekas naib presiden PAS Mohamad Sabu masih berteka-teki sama ada ingin menerima pelantikan sebagai ahli jawatankuasa pusat PAS atau sebaliknya.

Ditemui Malaysiakini tengah hari ini, keputusan muktamad penyertaannya dalam jawatankuasa tertinggi parti itu akan diketahui "Maghrib hari ini."

"Saya belum keputusan muktamad sehingga Maghrib ini," katanya.

"Saya banyak (ambil masa) menunggu dan lihat terutama melihat perkembangan parti, pemikiran dan kecenderungan (parti) ke arah mana.

"Dan kalau saya kembali (dalam jawatankuasa PAS) apakah peranan saya, (semua) kena bincang dengan kawan-kawan, sebab saya ada masa lagi."

Mengesahkan membaca surat tawaran tersebut kelmarin, Mohamad berkata sekiranya beliau hadir dalam mesyuarat jawatankuasa PAS pusat malam ini, ia sebagai tanda beliau menerima tawaran tersebut.

"Kalau saya pergi malam ini saya terima. Kalau saya tak pergi, saya tak terima (jawatan tersebut)," katanya selepas sidang media mengumumkan program Himpunan Mansuhkan ISA di Kuala Lumpur, 1 Ogos ini.

Ditanya mengenai peranannya jika beliau menerima jawatan tersebut, bekas ahli parlimen Kuala Kedah itu akan terus menguatkan Pakatan Rakyat.

"Tidak boleh membuka usaha untuk bernafas kepada Umno yang telah buat kerenah dalam pentadbiran di Malaysia," katanya.

Mohamad dan seorang bekas naib presiden PAS Datuk Husam Musa - yang tewas dalam perebutan mencabar Nasharuddin Mat Isa bagi jawatan timbalan presiden ditawarkan jawatan tersebut dua minggu lepas.

Namun kedua-duanya belum menjawab tawaran tersebut.

Mohamad pada awalnya ingin mengambil masa seminggu hingga 18 Jun lepas, manakala Husam pula dilaporkan sedang menunggu penceramah popular itu membuat keputusan dahulu.

Sumber-sumber yang dekat dengan kedua-dua pemimpin itu memberitahu Malaysiakini minggu lalu bahawa Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat menasihat mereka berdua agar menerima tawaran tersebut dalam satu pertemuan.

Ditanya mengenai pertemuan tersebut beberapa hari sebelum berangkat kepada Indonesia minggu lalu, Mohamad berkata pertemuan tersebut adalah "satu kunjungan hormat."

Enggan enggan mengulas lanjut hasil pertemuan tersebut, beliau bagaimanapun berkata, "beliau (Nik Aziz) tidak mahu kepada kerajaan perpaduan".

Ditanya mengenai pandangan beliau berhubung ketegasan menteri besar itu dalam perkara berkenaan, Mohamad berkata:

"Saya bersama dengan ketegasan Tok Guru dalam isu ini. Mungkin isu yang lain, kita berbeza (pandangan) dengan Tok Guru.

"Pakatan Rakyat perlu diteruskan kerana ia terlalu muda. Baru setahun, takkan kita nak bercerai dalam keadaan suasana baik dan beri manfaat kepada PAS."

Tiada ulasan: