"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ketua hakim syarie bongkar penyelewengan terima anugerah

Ketua Hakim Syarie Pulau Pinang, Yusof Musa, dipilih sebagai pemenang pertama Hadiah Integriti Pulau Pinang kerana berjaya membongkar penyelewengan seorang kakitangan Mahkamah Syarie negeri itu yang melibatkan RM500,000.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata penyelewengan itu, yang membabitkan bayaran balik bon jaminan, dikesan selepas Yusof meneliti fail sebaik dilantik sebagai Ketua Hakim Syarie awal Februari lalu.

"Selepas meneliti beberapa fail, beliau mengesyaki berlaku penyelewengan dan terus melaporkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan anugerah itu kepada Yusof sempena majlis perhimpunan anggota perkhidmatan awam Pulau Pinang hari ini.

Anugerah itu berbentuk sijil penghargaan dan wang tunai RM10,000, lapor Bernama.

Lim berkata laporan telah dibuat kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM) manakala kakitangan berkenaan dilarang oleh Yusof daripada menjalankan tugas-tugas kewangan jabatan.

"Bagaimanapun, kakitangan terbabit telah menghilangkan diri," katanya.

Lim memuji Yusof kerana berani mendedahkan penyelewengan dan melaksanakan

amanah yang diberikan dengan penuh tanggungjawab selain berlaku telus terhadap perkara yang tidak betul.

Yusof, 52, berkata pendedahan penyelewengan itu bukanlah kerana mengharapkan anugerah tetapi menjadi tanggungjawabnya sebagai ketua jabatan untuk memerangi penyelewengan dan rasuah.

"Saya bersyukur kerana diberi anugerah ini. Ini bukanlah kerana wang tetapi sebagai sikap tanggungjawab seorang ketua jabatan yang diharapkan menjadi contoh kepada kakitangan lain," katanya.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: