"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

ICG cuba bangkitkan sentimen anti-Islam

Izwan Abdul Halim |izwan@harakah.net.my

ALOR SETAR, 25 Jun (Hrkh) - Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah (DPPNK) menyifatkan laporan yang dikeluarkan International Crisis Group (ICG) bertajuk "Merekrut Militan Di Selatan Thai" sebagai satu bentuk tuduhan berniat jahat (mala fide) dan cubaan membangkitkan semula sentimen anti-Islam atau 'Islamophobia'.

Ketuanya, Ustaz Ahmad Yahya berkata, ICG yang beribu pejabat di Brussels, Belgium dalam laporan terkininya mendakwa sekolah pondok telah menjadi tempat melahirkan pemberontak di Selatan Thai berikutan kumpulan pemisah menggunakan mereka untuk merekrut dan melatih remaja Muslim.

Menurut beliau, laporan itu turut menyebut, pengrekrutan melibatkan latihan ketenteraan, perang saraf psikologikal, pengintipan dan sabotaj melibatkan antara 1,800 hingga 3,000 pejuang daripada lebih 100,000 pelajar pondok.

Malah laporan itu juga katanya, mendakwa kegagalan pasukan keselamatan disebabkan penyalahgunaan kuasa terhadap usaha menangani keganasan di Selatan Thai.

"Kita mempersoalkan keabsahan laporan ini kerana jika benar, mana mungkin perkara berkaitan militan yang menjadi perhatian seluruh dunia sejak tragedi 11 September 2001 semudah itu berlaku tanpa ditangani. Biar bagaimana sekalipun penyalahguanaan kuasa berlaku di pihak pasukan keselamatan seperti didakwa laporan itu, mustahil perkara ini dipandang enteng.

"Kita percaya laporan ini adalah tuduhan 'mala fide' dan mempersoalkan laporan ini kerana dikeluarkan tatkala Selatan Thai kembali diselubungi tragedi. Kita merasa amat khuatir ini sebagai permulaan kepada cubaan membangkitkan semula sentimen anti-Islam atau 'Islamophobia' yang pernah berlaku selepas tragedi 11 September 2001 dahulu," ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily baru-baru ini.

Tegas Ahmad, institusi pendidikan Islam di seluruh dunia sama ada dipanggil sekolah, madrasah, pondok mahupun universiti sentiasa membawa 'mesej' keamanan untuk sejagat dan tidak pernah menganjurkan kepada sebarang bentuk keganasan.

"Oleh itu kita amat berharap semua pihak menjaga keharmonian sesama kita dan tidak membuat andaian atau bersikap menuding jari. Cukuplah kita mengambil pengajaran bahawa realitinya, sebarang krisis berlaku di seluruh dunia, yang menjadi mangsanya adalah Islam dan umatnya," ujar beliau mengakhiri kenyataan.


Tiada ulasan: