"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hasan Ali nafi keluar Pakatan, jadi Adun Bebas

G Manimaran

PETALING JAYA, Dis 26: Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali menyangkal spekulasi yang beliau telah memutuskan untuk keluar Pakatan Rakyat (PR) negeri, sekali gus akan bertindak sebagai wakil rakyat bebas di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Hasan, yang juga Exco Kerajaan Negeri menegaskan beliau dan PAS Selangor akan tetap bersama PR untuk meneruskan kerajaan negeri, pimpinan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim dari PKR, yang dibentuk selepas pilihan raya umum Mac 2008.

"Itu (khabar angin) tidak benar... itu adalah maklumat jahat untuk merosakkan nama saya. Saya tidak ada niat semacam itu (untuk keluar Pakatan dan bertindak sebagai Adun Bebas)," kata Hasan kepada The Malaysian Insider ketika dihubungi pagi ini. Hasan menegaskan pihaknya akan kekal dalam PR dengan memerlukan barisan wakil rakyat berkualiti yang "tidak akan melompat ke mana-mana parti yang lain."

PR Selangor terdiri daripada PAS, PKR dan DAP.

Sambil merujuk kepada situasi yang pernah dilalui PAS Kelantan, Hasan yang merupakan Adun Gombak Setia menambah, "walaupun di Kelantan PAS hanya pernah mempunyai majoriti satu kerusi tetapi berupaya mempertahankan kerajaan negeri, walaupun salah seorang wakil rakyatnya secara terus-menerus dipujuk, tetapi mereka kekal bersama."

"Ini merupakan prinsip berkualiti yang ada pada mereka. Jadi, kami pun mahukan wakil rakyat yang berkualiti macam itu.

"Sepanjang satu setengah tahun kami memerintah Selangor, kami sudah membuktikan satu kerajaan yang bersih, dan kami mahu mengekalkannya," kata Hasan yang merupakan exco yang bertanggungjawab kepada portfolio agama.

Desas-desus itu disebarkan sehari selepas jawatankuasa disiplin mengadakan mesyuarat untuk menyiasat Hasan dan bekas timbalannya Khalid Samad.

Jawatankuasa disiplin yang mendapati adanya kes kukuh terhadap mereka akan memanggil Khalid iaitu Yang Dipertua PAS Shah Alam dan Hasan pada 7 dan 9 Jan ini.

Desas-desus menyebut Hasan sudah dijatuhkan hukuman digantung daripada semua jawatan parti selama dua penggal. Ia disebarkan sejak awal pagi Khamis iaitu beberapa jam selepas jawatankuasa disiplin PAS yang dipengerusikan oleh naib presidenya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bermesyuarat.

Dalam reaksi kepada The Malaysian Insider, Hasan juga menafikan satu perhimpunan akan diadakan di pekarangan Pejabat PAS Selangor, Shah Alam untuk menyerahkan memorandum menjalin kerjasama dengan Umno negeri itu.

"Tidak, tidak ada sebarang majlis seumpama itu di PAS Selangor esok. Saya sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor, jika ada majlis sedemikian sudah pasti saya tahu... tidak ada majlis macam itu," katanya.

Laporan Harakah Daily hari ini yang memetik kiriman SMS berkata perhimpunan itu akan diadakan di pekarangan pejabat Perhubungan PAS Selangor, Shah Alam esok.

Sempena perhimpunan itu, menurut SMS tersebut, satu memorandum akan diserahkan, yang bakal diterima sendiri oleh Hasan.

"Datanglah beramai-ramai demi kepentingan Melayu...," tulis sms itu dipetik portal tersebut.

Harakah Daily mendakwa Umno mahu mengambil peluang dari masalah dalaman yang berlaku di Selangor sekarang untuk memecahkan PAS.

Mengenai keputusan jawatankuasa disiplin yang akan memanggil beliau untuk memberi keterangan susulan, Hasan berkata, beliau bersedia untuk memberi kerjasama sebaik mungkin.

"Saya sedia untuk memberikan kerjasama penuh, memberi keterangan yang diperlukan oleh jawatankuasa disiplin.

"Bagaimanapun sehingga kini saya belum menerima apa-apa makluman daripada jawatankuasa disiplin, saya tak dengar apa-apa," katanya.

-themalaysianinsider-

Tiada ulasan: