"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Misteri Dan Realiti Kehilangan Enjin P-5E TUDM

Mohd Sayuti Omar

KEHILANGAN dua enjin persawat F-5E milik TUDM terus menjadi bualan di mana-mana saja. Mereka yang sebelum ini buta dan jahil mengenai hal ehwal pesawat dan ketenteraan kini sudah mulai mengetahui dan mengenalinya serba sedikit.

Isu kehilangan secara misteri dan realiti dua enjin itu memaksa mereka mempelajari lebih dekat mengenai peralatan perang khasnya nama-nama kapal perang untuk dijadikan bahan bercakap.

Bagus juga enjin pesawat dan lain-lain peralatan lain bernilai lebih RM100 juta itu hilang setidak-tidak ia memberi ilmu kepada orang ramai.

Dalam memperkatakan isu ini, orang ramai melahirkan rasa terkejut dan anih atas apa yang berlaku. Mereka merasa anih kenapa peralatan perang boleh hilang begitu mudah sedangkan ia dijaga dengan rapi. Jika boleh diibaratkan kepentingan dan maruah senjata milik negaranya itu samalah dengan 'senjata' milik kita di mana ianya dijaga dan dibawa ke mana-mana hatta ke jamban tanpa sedikitpun diabaikannya.

Kata menteri pertahanan, Ahmad Zahid Hamidi kejadian itu dilakukan oleh pengkhianat negara! Memanglah yang melakukan perbuatan tidak bermoral penyagat dan petualang. Kalau benar begitu orang jadi terkejut mengapa musuh begitu mudah menyelinap masuk ke dalam zone pertahanan dan menyonglapkan dua enjin berkenaan. Kenapa begitu rapuh pertahanan kita dirempuh oleh musuh? Tidak kiralah musuh itu dari kalangan tentera sendiri ataupun orang luar.

Meneliti kepada kejadian ini timbul juga pertanyaan, apakah berlaku sebotaj dalam pertahanan kita. Musuh masuk ke dalam zone pertahanan keselamatan kita dan mencabut enjin serta merosakkan kapal terbang? Tujuannya bila kita bersiap sedia hendak menggunakannya ia tidak boleh digunakan.

Lain-lain keterkejutan dan keanihan ialah kenapakah siasatan dan tindakan ke atas kehilangan itu lambat diambil tindakan? Menurut laporan enjin itu hilang sejak tahun 2007 lagi. Satu laporan polis telah pun dibuat dua tahun lalu. Menurut Peguam Negara, Abdul Ghani Patail pula kertas siasatan mengenai kes itu akan dipulang kerana tidak lengkap. Penjelasan Ghani itu menunjukkan siasatan sudah dijalankan?

Soalnya kalau ia tidak lengkap kenapa ia baru sekarang nak dipulangkan? Apakah ada persefahaman antara Peguam Negara dengan Polis dalam hal ini agar melewatkan siasatan mengenai kehilangan itu. Atau apakah hal ini ada sangkut paut dengan penyambung kontrak Ketua Polis Negara, Musa Hassan yang sepatutnya tamat beberapa bulan lalu.
Lebih rewel lagi seperti mana kata Zahid, Peguam Negara telah meminta segala dokumen dan laporan mengenai keadaan enjin itu dan ke mana destinasi asalnya. Bila Ghani baru minta bermakan kes ini baru hendak disiasat (semula)?

Apabila siasatan tidak selesai dan tidak lengkap dan pencuri gagal dibawa ke mahkamah ini bermakna siasatan itu dibuat ala kadar saja. Jadi keadaan ini menyebabkan orang mempunyai ruang dan modal untuk berandaian sehingga kepada mungkin ada usaha dipihak tertentu cuba hendak menyembunyikan kes kehilangan ini. Kenapa?

Prasangka akan terus menjadi-jadi. Mungkin disebabkan kerana ia melibatkan pihak atasan hatta menteri maka ia disembunyikan. Ingat kejadian ini berlaku semasa Najib Razak jadi menteri pertahanan. Apakah ianya ada kaitan dengan Najib sendiri?

Persoalan lain juga timbul kenapa ia didedahkan hari ini. Semasa Zahid pula menjadi menteri. Zahid dikenali sebagai anak buah Najib? Atau memang sudah ada sesuatu yang tidak kena antara mereka berdua menyebabkan Zahid tidak dapat menyekat desakan agar kes ini didedahkan? Apakah ada konspirasi senyap untuk menjatuhkan Najib?

Malam tadi saya minum bersama seorang bekas pegawai tinggi tentera yang berpangkal Kolonel pernah terlibat dalam pembelian peralatan perang tentera. Saya mengambil peluang menanyai mengenai beberapa prosuder mengenai pembelian, penjagaan dan penyelenggaran peralatan perang.

Menurutnya adalah mustahil kalau kehilangan dua enjin itu tidak dapat dikesan sejak awal-awal lagi. Ini kerana katanya setiap barangan tentera yang masuk ke inventori ianya direkod dan dikawal rapi. Bukan saja enjin kapal terbang bahkan sebatang paku pun ia direkod dan diketahui ke mana ia dibawa. Peralatan tentera begitu sophisticated sekali.

Kerana itu katanya dia yakin, sangat yakin kehilangan itu sudah pun diketahui awal-awal lagi. Kalau pun menteri tidak tahu, ketua tentera mesti tahu. Atau setidak-tidaknya pegawai tinggi yang bertanggungjawab mengawal logistik tentera sudah pun mengetahuinya. Di dalam tentera katanya ada satu psukan khas yang dinamakan risik. Pasukan ini bertanggungjawab membuat risikan dalaman dan luaran. Dan apa juga peralatan perang kalau tidak ada perintah dari atasan tidak ada sesiapa yang berani mengeluarkannya kerana risikonya tinggi.

Berdasarkan pengalaman Kolonel itu kemungkinan kes kehilangan membabitkan orang atas termasuk peringat menteri dan perdana menteri sendiri. Bagaimana pun Zahid sudah membuat penafian kes itu tidak membabitkan pegawai tinggi tentera dan ia hanya melibatkan pegawai lain-lain pangkat (LLP) sahaja. Buat sementara kita terimalah dulu apa yang dijelaskan Zahid.

Tetapi sekali lagi berdasarkan penjelasan bekas pegawai tentera itu penafian Zahid itu boleh dipertikaikan. Apakah dalam hal ini Zahid cuba menyembunyikan sesuatu kerana ingin menyelamatkan seseorang? Sebaliknya kalau Zahid ada niat begitu kenapa beliau tidak mengawal agar kes ini tidak pecah? Atau Zahid sendiri pun sudah tidak berdaya menahanan asakan bagi mengelakkan dirinya sendiri dibabitkan dengan kehilangan itu?

Disebabkan kes ini sudah terdedah dan Najib sendiri memberi pengakuan tidak akan melindungi sesiapa, maka kita serahkan kepada polis. Kita berdoa supaya polis menjalankan tugas dengan baik dan telus. Siasatlah dengan jujur dan rasa tanggungjawab kepada negara berlandaskan kepada keimanan dsn bukan nasihat isteri. Kalau polis, peguam negara dan sesiapa saja terlibat dalam menyelesaikan kes ini mengenepikan semagat itu maka negara bukan saja kehilangan dua enjin tetapi banyak lagi enjin akan hilang mungkin termasuk juga 'telor' menteri dan perdana menteri turut hilang.

Mengenai arahan Zahid supaya bloger tidak membuat spekulasi mengenai hal ini ia bukan mudah untuk dipatuhi. Bloger atau penulis mereka meriwayatkan apa saja yang menjadi sunggutan alam dan maklhluknya. Selagi alam memperkatakan apa saja isu termasuk isu kehilangan dua enjin itu maka selama itulah bloger akan menulis dan mengulas dengan akal, pengamatan dan firasat siasatannya sendiri. [wm.kl. 9:50 am 23/12/09]

Tiada ulasan: