Zolkharnain Abidin
Konvensyen Pakatan Rakyat yang memperuntukkan secara jelas polisi negara termasuk kedudukan Islam dan bahasa Melayu sekiranya berkuasa, menjadika n Umno sawan. Tanpa segan silu, Umno bersedia menjadi ‘penasihat’ PAS supaya tidak menggadai prinsip perjuangan. Macamlah perjuangan Umno punya prinsip…!
PAS bukan parti kebangsaan songsang dan sempit macam Umno. Semenjak tahun 1990 sampai sekarang orang Melayu Kelantan terus dianaktirikan oleh Umno. Hanya kerana di sana PAS berkerajaan. Orang Melayu di negeri Umno berkerajaan juga tidak kemana pun.
Di Pulau Pinang, Umno sibuk untuk mengambil kerusi pengerusi BN negeri. Umno nak buat apa dengan jawatan itu? Nak bela Melayu Pulau Pinang? Melayu di Terengganu, negeri terkaya itu pun Umno tidak terbela, inikan pula Melayu Pulau Pinang.Justeru, PAS tidak boleh mengikuti jejak Umno. Jejak yang memusnahkan, bukan sekadar masa depan PAS tetapi masa depan kepada harapan rakyat Malaysia.
Pertama, PAS tidak boleh menjadikan agenda Melayu sebagai asas perjuangannya, seperti Umno. Apabila PAS dapat tegak dengan prinsip keadilan dan kesaksamaan, pasti tiada yang terpinggir dan teraniaya, baik Melayu atau sesiapa sahaja.
Keadilan melangkaui batas bangsa. Teras kepada keadilan ialah memulangkan hak kepada yang berhak. Orang Melayu ada haknya, sama seperti orang lain. Bukan membela namanya, apabila pembelaan itu dilakukan atas nama bangsa dengan mengenepikan nilai-nilai keadilan sejagat.
Paksi PAS adalah keadilan dan keadilan juga adalah paksi Islam.
Kedua, PAS tidak boleh bekerjasama dengan Umno. Mana mungkin PAS bekerjasama dengan parti yang memijak mahkamah, memperkosa sistem demokrasi, melontar jauh-jauh kemanusiaan rakyat.
Institusi utama negara yang mana satu yang tidak pernah dinodai oleh Umno? Sebut sahaja; SPR, SPRM, polis, mahkamah, parlimen atau mufti?
Negara ini hanya mampu menjadi baik apabila dikendali oleh golongan yang menjulang keadilan.
Benar, parti-parti sekutu PAS dalam Pakatan Rakyat ada kelemahan dan kesilapan masing-masing. Namun kelemahan dan kesilapan mereka tetap ada batas sempadannya. Memang ada masanya mereka bercakap ‘lepas’, tetapi mereka tidak pernah menzalimi orang lain.
‘Say no to Umno’.
Ketiga, PAS tidak boleh curang terhadap Pakatan Rakyat. Dalam ungkapan lain, kesetiaan PAS terhadap Pakatan Rakyat tidak boleh berbelah bagi.
Belum pernah berlaku dalam sejarah PAS, satu persetiaan yang harmonis terjalin seperti persetiaan yang terhasil semasa konvensyen yang lalu. Akui Anwar, BN sendiri tidak mempunyai dokumen persetiaan dasar seperti yang dimiliki Pakatan Rakyat.
Persetiaan itu bukan sekadar helaian kertas, tetapi persetiaan yang tersimpul harapan rakyat. Mencabuli persetiaan itu sama seperti mencabuli harapan mereka.
Agenda Melayu, bekerjasama dengan Umno dan curang dalam persetiaan dalam Pakatan pasti meruntuhkan PAS. Kita yakin, itu tidak akan berlaku kini dan akan datang juga.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan