"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Saya ada prinsip, jangan perlekeh saya - Zahrain

G. Manimaran

PULAU PINANG, Jan 31: Ahli Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Hashim mengulangi beliau belum terlintas untuk meninggalkan PKR sambil menegaskan, “jangan memperlekehkan” beliau dengan spekulasi mahu menyertai BN.

“Saya seorang (pemimpin) yang ada prinsip. Jangan perlekehkan saya,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Zahrain, bekas pengerusi PKR Pulau Pinang berkata demikian apabila ditanya sama ada benar desas-desus mendakwa beliau mahu meninggalkan PKR dan ada diberi tawaran untuk menyertai ataupun menyokong BN di Parlimen.

Zahrain menegaskan beliau masih meletakkan kepercayaan pada perjuangan PKR yang ditubuhkan lebih sedekad lalu.

Justeru Zahrain yang merupakan bekas pemimpin Umno Bahagian Tanjong sebelum menyertai PKR ketika era reformasi berkata, apa yang beliau luahkan hanyalah harapan agar pemimpin PKR khususnya penasihat mereka Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menggadai prinsip perjuangan PKR atas nama kerjasama dalam Pakatan Rakyat (PR).

PR adalah ikatan tidak formal PKR-PAS-DAP yang mempunyai 82 anggota di Dewan Rakyat.

“Saya minta Datuk Seri Anwar jangan kompromi dalam perjuangan parti. Sebagai ahli parti, saya hanya memberikan pandangan,” katanya.

Semalam Pengerusi PKR Pulau Pinang Dr. Mansor Othman dan Anwar pula pada hari ini mengesahkan ada usaha untuk memikat ahli-ahli Parlimen parti itu agar menyertai komponen BN atau Parti Cinta Malaysia bagi memperkukuhkan kedudukan BN di Parlimen.

Ditanya apakah Anwar, yang juga ketua umum PR sudah tidak layak memimpin PKR dan juga pakatan itu, Zahrain berkata: “Itu bukan saya yang kata.”

“Bagi saya Datuk Seri Anwar masih kawan saya, beliau adalah pemimpin tersohor Pakatan,” kata beliau sambil mahu Anwar tidak berkompromi dalam soal prinsip PKR.

Minggu lalu Zahrain menyifatkan Lim yang juga setiausaha agung DAP sebagai seorang diktator, cauvanis dan berfikiran komunis.

Zahrain dipetik sebagai berkata bahawa PR tidak akan berkrompomi dengan pemimpin dari Melaka itu kerana Lim telah gagal memenuhi janji pilihan rayanya.

Ini bukan pertama kali Zahrain mengkritik Lim.

Pada April lalu, Zahrain turut menyalahkan Lim berhubung pelantikan Timbalan Ketua Menteri 1 dan peletakan jawatan Mohammad Fairus Khairuddin sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Penanti.

Mengulas soal integriti dan pegangan pada prinsip perjuangan parti, Zahrain menafikan beliau mengecam Lim kerana masalah peribadi, termasuk kecewa berhubung keengganan Lim untuk tidak menyokong tender pengurusan kelab golf Bukit Jalil kepada sebuah syarikat RM2.

Sehubungan itu kata Zahrain, dakwaan Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow adalah tidak benar sama sekali.

“Lim telah memaklumkan kepada saya bahawa Zahrain kecewa dengan kerajaan negeri kerana enggan menyokong syarikat itu untuk menjalankan pengurusan kelab golf,” kata Chow di sini semalam.

Oleh itu Zahrain memberitahu, Lim telah bertindak secara tidak profesional apabila memanggil semula tender projek pengurusan berkenaan tanpa mengadakan perbincangan dengannya.

Kata beliau, apabila tender pengurusan kelab itu dibuka hanya sebuah syarikat yang membuat bidaan.

“Oleh kerana hanya satu syarikat mengemukakan bidaan, maka lembaga kelab memutuskan agar syarikat berkenaan menaikkan modal berbayar dan diberikan tawaran projek pengurusan.

“Ini keputusan lembaga, bukan keputusan saya seorang selaku pengerusi kelab... ini keputusan bersama lembaga,” kata beliau.

Bagaimanapun kata Zahrain, Lim telah membatalkan keputusan tawaran projek itu tanpa berbincang dengan beliau dan lembaga terlebih dahulu.

Tindakan Lim itu dikatakan telah mencabar integriti keputusan lembaga berkenaan.

Oleh itu kata beliau adalah tidak wajar mengatakan syarikat RM2 milik anaknya atau keluarganya diberikan projek tersebut.

“Saya berharap mereka akan jaga mulut mereka. Jika masih ada yang terus mengatakan bahawa projek itu hendak diberikan syarikat anak atau syarikat keluarga saya, saya akan mengambil tindakan saman,” katanya.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan: