"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS terima bukan Islam ahli bertaraf penuh dalam 5 tahun

G. Manimaran
KUALA LUMPUR, Feb 2:
PAS menetapkan tempoh lima tahun untuk membuka pintunya dengan luas kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan kaum tetapi tidak akan berkompromi dalam meneruskan Islam sebagai dasar perjuangan parti.

Parti komponen Pakatan Rakyat itu dijangka berbuat demikian selepas pilihan raya umum ke-13, yang disebut-sebut diadakan tahun depan ataupun selewat-lewatnya sebelum Jun 2013.

“Sudah tentu, PAS akan kekal sebagai parti Islam,” kata Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS pusat Dr Mujahid Yusuf Rawa (gambar).

Bercakap kepada Harakah Daily, Mujahid berkata, “tetapi kami mengiktiraf kita juga merupakan sebuah negara pelbagai kaum.”

“Oleh itu kami berharap bahawa dalam tempoh lima tahun akan datang, kita boleh selesaikan semua pintalan dan menjemput mereka yang berlainan agama dan kaum untuk menjadi ahli PAS selagi mereka menyokong dasar perjuangan parti,” katanya.

Mujahid mengeluarkan pandangan baru ini kira-kira sebulan selepas jawatankuasa pusat PAS memperakui draf perlembagaan yang membolehkan Kelab Penyokong PAS, sayap untuk bukan Islam, dikenali sebagai Dewan Perhimpunan Penyokong PAS.

Langkah ini dilihat sebahagian usaha susulan PAS untuk menarik sokongan penyokong bukan Islam walaupun kuasanya masih dilihat terhad.

Penasihat Dewan Perhimpunan Penyokong PAS ialah seorang lagi naib presiden parti itu, Salahuddin Ayub.

Dewan Perhimpunan Penyokong PAS ini akan mempunyai struktur barisan kepimpinan mereka di peringkat pusat, negeri dan kawasan tetapi belum ada kuasa atau hak secara langsung untuk bertanding ataupun memilih barisan kepimpinan tertinggi parti itu.

Usaha naik taraf itu dibolehkan dengan mengadakan perlembagaan tersendiri tanpa melibatkan pindaan pada perlembagaan induk PAS.

Kelab Penyokong PAS kini mempunyai lebih 20,000 ahli daripada kaum India, Cina, Siam dan Iban. Ia ditubuhkan pada 2004.

Dewan itu akan diketuai oleh seorang ketua dengan dibantu oleh timbalan ketua, lima naib ketua, setiausaha, penolong setiausaha, bendahari dan 18 anggota jawatankuasa. Ia juga akan mempunyai biro pemuda dan wanita.

Dewan Perhimpunan Penyokong PAS juga akan ditubuhkan di peringkat pusat, negeri dan kawasan (bahagian).

Tetapi tiada Dewan Perhimpunan Penyokong PAS peringkat cawangan.

Jawatankuasa teknikal ke arah menaik taraf Kelab Penyokong PAS sebagai dewan atau sayap formal bagi mengiktiraf keanggotaan masyarakat bukan Islam dalam parti itu telah ditubuhkan awal tahun lalu susulan pilihan raya umum Mac 2008.

Sejak ditubuhkan lebih lima dekad lalu buat pertama kali PAS telah meletakkan calonnya kalangan bukan Islam pada pilihan raya umum 2008.

Politik komunal dan kaum bukan sahaja sudah ketinggalan zaman tetapi ia adalah prinsip salah dan bertentangan dengan ajaran Islam,” kata Mujahid.

“Kita perlu bergerak menjadi satu model baru sama ada kesemua pihak berkepentingan dalam negara boleh mengambil bahagian dalam PAS tanpa PAS kehilangan fokus dan dasar tunjang Islam.

Adakah ia boleh dilakukan? Sudah tentu, kami yakin begitu. Lihat pada Kelab Penyokong (PAS).

“Ia merupakan satu hakikat dan telah menjadi satu kejayaan, dan kini kami telah menaikkan tarafnya menjadi dewan. Sekarang, kami mahu dewan ini digerakkan ketika kami bersiap sedia untuk langkah akhir. Saya pasti kita boleh melakukannya, PAS untuk semua,” kata Ahli Parlimen Parti Buntar ini.
-malaysianinsider-

Tiada ulasan: