"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rasuah pasir, enam termasuk polis didakwa

Tiga penjawat awam termasuk seorang kakitangan anak syarikat kerajaan Selangor dan pegawai polis masing-masing dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Shah Alam hari ini atas tuduhan rasuah membabitkan kegiatan mengeluarkan pasir di Selangor pada 2008 dan tahun lalu.

Abdul Halim Khailani, 47, dari Bandar Baru Bangi; Abd Wahab Nordin, 55, dari Rawang; dan Abdul Amir A.Wahab, 40, dari Putrajaya; mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Mat Ghani Abdullah.

Abdul Halim didakwa sebagai penolong pengarah tanah yang bertugas di Pejabat Daerah & Tanah Hulu Langat telah meminta untuk dirinya suapan wang tunai RM2,000 daripada Khairul Anuar Ahmad Bustaman, 23, supaya tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas aktiviti pengeluaran pasir tanpa permit yang sah oleh Khairul Anuar di kawasan Lot 1519, Batu 19 1/2 dan Lot 3654, Batu 1/4 Jalan Sungai Lui, Hulu Langat.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Daerah & Tanah Hulu Langat, Seksyen 9, Bandar Baru Bangi, kira-kira pukul 11 pagi pada 23 April tahun lalu.

Abdul Halim juga didakwa secara rasuah setuju menerima suapan wang tunai RM2,000 daripada Khairul Anuar melalui Mohd Azam Ab Jalil, 30, sebagai dorongan untuk melakukan perkara yang sama di dalam sebuah kereta Perodua Kancil nombor pendaftaran WPN 5287 di Jalan Medan Bangi, Bandar Baru Bangi kira-kira pukul 10 pagi pada 24 April tahun lalu.

Abd Wahab pula didakwa sebagai Penolong Pengurus Tanah yang bertugas di Kumpulan Semesta Sdn Bhd (anak syarikat kerajaan Selangor) telah secara rasuah memperoleh dari Mohd Shafiq Idrus wang tunai RM3,000 yang dimasukkan ke dalam akaun Maybank miliknya sebagai dorongan untuk memproses permohonan Mohd Shafiq bertarikh 6 Okt 2009 bagi mengusahakan kawasan pasir di sepanjang Sungai Langat, Dengkil, Sepang.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank cawangan Kajang, kira-kira pukul 3 petang pada 18 Sept tahun lalu.

Abdul Amir didakwa sebagai Inspektor polis di cawangan trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang telah secara rasuah memperolehi untuk dirinya suapan wang tunai RM200 daripada Lee Keen Seng, 43, di pejabat Cawangan Trafik, Ibu pejabat Polis Daerah Kajang, kira-kira pukul 2 petang pada 6 Nov 2008.

Tertuduh juga didakwa memperoleh untuk dirinya suapan wang tunai RM1,500 daripada Wong Yun Fui, 32, melalui Ahmad Khairi Ley (ulang: Ley) di tempat letak kenderaan di kawasan rehat Lebuhraya Kajang Silk menuju ke Kajang, Hulu Langat, kira-kira pukul 12.15 tengah hari pada 13 Nov 2008.

Abdul Amir turut didakwa memperoleh bagi dirinya suapan wang tunai berjumlah RM4,500 daripada Wong melalui akaun Maybank miliknya di Maybank cawangan Sri Serdang, pada 22 Dis 2008, 19 Jan dan 4 Mac tahun lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kelima-lima kesalahan itu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas lori-lori pasir yang membawa lebih muatan.

Semua tertuduh didakwa di bawah Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara minimum 14 hari dan maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Mat Ghani membenarkan Abdul Halim yang diwakili peguam Amir Khusyairi Mohamad Tanusi dibebaskan dengan jaminan RM6,000 serta seorang penjamin dan menetapkan perbicaraan selama tiga hari bermula 17 Mei depan serta sebutan kes pada 11 Mac depan.

Sementara bagi Abd Wahab yang juga diwakili peguam Amir Khusyairi, mahkamah menetapkan ikat jamin berjumlah RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan perbicaraan pada 20, 21 dan 24 Mei depan serta sebutan kes pada 11 Mac.

Mat Ghani turut membenarkan Abdul Amir yang diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork dibebaskan dengan jaminan RM7,000 serta seorang penjamin dan menetapkan perbicaraan selama tiga hari bermula 6 Julai depan serta sebutan kes pada 22 Mac.

-
Bernama-

1 ulasan:

Unknown berkata...

Salam ziarah
Khutbah terakhir Rasulullah ,panduan segala isu terkini
http://ijoks2009.blogspot.com/2010/02/khutbah-terakhir.html