"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Nik Aziz pilih pensyarah Kuis sebagai SU Akhbar baru

M Faqih
KOTA BHARU, 3 Feb:
Tahun 2010 menyaksikan perubahan agak besar di pejabat Menteri Besar Kelantan apabila dua pegawai kanan baru dilantik membantu tugas Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Pada awal Januari lalu bekas Pengarah Pusat Kajian Strategik, Wan Nik Wan Yussof dilantik sebagai Setiausaha Politik menggantikan Anual Bakri Harun.

Manakala awal bulan ini bekas pensyarah Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias), Ahmad Fadhli Shaari, 30 pula menggantikan Mohd Saiba Yaakub sebagai setiausaha akhbar. Beliau sebelum ini tidak pernah bertugas dengan mana-mana media atau akhbar.

Sebelum ini isu pertukaran pegawai terbabit mendapat liputan meluas media ekoran tercetus isu membabitkan menantu Menteri Besar, Ir Abdul Ariffahmi Abdul Rahman, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan.

Mohd Saiba hari ini mulai bertugas sebagai pensyarah di Kias.

Katanya, beliau kembali kepada tugas asalnya sebagai pensyarah sebelum berkhidmat di pejabat Menteri Besar pada 2002.

Sebelum itu pernah bertugas sebagai pembantu pensyarah di Universiti Malaya selama empat tahun sehingga 2000, kemudian mengajar di Kolej Darul Quran di Terengganu akhir 2000 hingga Januari 2002.

Beliau dilantik Setiausaha Akhbar Menteri Besar pada 3 Febuari 2002 dan berakhir semalam.

Beliau merupakan Setiausaha Akhbar yang keempat dan paling lama berkhidmat iaitu selama lapan tahun.

Fadhli yang juga Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kelantan berasal dari Tendong, Pasir Mas merupakan pelajar Maahad Tahfiz al Quran Pulai Chondong.

Mendapat diploma Tahfiz Al Quran Jakim pada 2000. Kemudian menyambung pelajaran ke Kias dalam bidang dakwah.

Muncul sebagai pelajar terbaik Kias pada 2003. Beliau mendapat biasiswa Yayasan Kelantan Darulnaim bagi melanjut pelajaran ke Universiti Al Azhar, Mesir dalam bidang dakwah pada 2003.

Mulai bertugas sebagai pensyarah di Kias pada November 2004. Sekarang sedang menyiapkan tesis sarjana dalam bidang dakwah dan kepimpinan di UKM.

Isterinya, Nuryani Mohd Salleh juga seorang pendidik. Mereka kini mempunyai dua cahaya mata.

Fadhli akan memulakan tugas barunya di pejabat Menteri Besar pada Ahad ini.

Ketika dihubungi katanya beliau akan berusaha sebaik mungkin membantu Menteri Besar bagi membina hubungan lebih mesra dengan petugas-petugas media.

“Biar pun tidak mempunyai pengalaman dalam tugas baru, namun saya akan berusaha mendapat tunjuk ajar daripada Setiausaha Akhbar sebelum ini dan rakan-rakan media,” katanya.

Tiada ulasan: