"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemerhati antarabangsa hadiri perbicaraan Anwar

KUALA LUMPUR, Feb 2: Perbicaraan kes liwat pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi di sini turut mendapat perhatian pemerhati antarabangsa dan wakil dari kedutaan asing.

Beberapa orang daripada kalangan mereka hadir di Mahkamah Tinggi hari ini semasa hakim perbicaraan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah mendengar permohonan Anwar untuk menangguhkan perbicaraan dan usaha oleh para peguamnya untuk mendapat semakan terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan minggu lepas yang tidak membenarkan Anwar memperoleh dokumen daripada pihak pendakwaan.

Wakil Persatuan Peguam Antarabangsa Jennifer Robinson berkata beliau gembira kerana mahkamah memaklumi kehadiran mereka di mahkamah sebagai pemerhati.

“Sungguhpun masih terlalu awal untuk memperkatakan tentang kes ini, kami gembira dapat berada di sini dan dibenarkan mengikuti prosiding perbicaraan,” kata Robinson, yang berpejabat di London.

Wakil Suruhanjaya Antarabangsa Pakar Undang-undang dan Peraturan Asia Mark Trowell pula berkata ini bukanlah kali pertama pertubuhan beliau hadir sebagai pemerhati dalam prosiding mahkamah di Malaysia.

Beliau berada di sini semasa perbicaraan kes hasutan membabitkan Pengerusi DAP Karpal Singh tahun lepas.

“Saya mahu mendapat pandangan yang tegas berhubung kes ini dengan mengikuti prosiding mahkamah,” kata Trowell.

Seorang pemerhati dari Kesatuan Eropah (EU) pula berkata adalah penting untuk mengikuti perbicaraan memandangkan kes itu berprofil tinggi dan beliau akan mengemukakan laporan kepada ibu pejabat EU di akhir perbicaraan.

“Tugas saya hanyalah untuk memerhati apa yang berlaku dalam mahkamah dan saya akan bergilir-gilir dengan wakil kedutaan lain dari negara EU sebelum kami membuat penilaian sendiri mengenai perbicaraan ini,” katanya.

Wakil Majlis Peguam Malaysia Rajpal Singh berkata kehadiran kumpulan besar pemerhati antarabangsa itu menunjukkan bahawa komuniti antarabangsa prihatin dengan perbicaraan itu yang membabitkan seorang pemimpin pembangkang.

“Secara umumnya, mereka mahu memastikan bahawa Anwar akan dibicarakan dengan adil,” kata Rajpal yang merupakan peguam pemerhati bagi Majlis Peguam.
-Bernama-

Tiada ulasan: