"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pilihanraya pilih ketua murid diarah henti

Seri
Perlaksanaan sistem pilihanraya bagi memilih Ketua Murid di sekolah-sekolah diarah dihentikan. Pekeliling berkaitan telah diedarkan dan boleh dimuat turun dari internet.

Walaubagaimanapun, sebab dari larangan berkenaan tidak berapa kuat iaitu (Kementerian Pelajaran Malaysia) KPM berpandangan bahawa sistem berkenaan tidak sesuai dilaksanakan atau didedahkan kepada murid-murid sekolah.

Tindakan berkenaan menimbulkan sedikit kejanggalan apabila, program berkenaan yang sepatutnya bertujuan baik bagi melatih pemimpin kecil disekat untuk diadakan lagi. Tahukah kita bahawa perlaksanaannya di sekolah cukup aman dan tenteram. Tidak berlaku rusuhan dan rasuah. Cukup tertib dan teratur.

Beberapa sekolah rendah dan menengah di Selangor dan Seluruh Malaysia begitu bangga menyiarkan kejayaan perlaksanaan program berkenaan hinggakan ada yang disiarkan di dalam Berita Perdana TV3, akhbar dan majalah.

Pelajar dilatih dengan cara pengundian yang ringan dan terkawal serta sesi pidato oleh murid yang bertanding. Ketua pengawas bukan sahaja dipilih oleh semua murid tetapi oleh guru-guru juga. Tentunya calon yang terpilih lebih berkualiti.

Sistem demokrasi berpilihanraya juga diajar di dalam subjek Sivik dan Kewarganegaraan dan juga subjek Sejarah pada peringkat menengah. Perlaksanaan piliharanya di sekolah merupakan satu praktikal terbaik untuk pelajar memahami proses pilihanraya yang berlaku di Malaysia.

Adakah kita tidak sudi untuk melihat bakal pemimpin yang dilahirkan, adalah mereka yang benar-benar layak dan berketrampilan untuk memimpin?. Adakah kerajaan bimbang pemimpin-pemimpin kecil ini akan buat kacau di universiti apabila mereka melangkah ke menara gading nanti?

Mungkin juga pelbagai sekatan terhadap pilihanraya di universiti mempunyai kaitan dengan arahan berkaitan pilihanraya di sekolah-sekolah. Jika ini tujuannya, tidak mustahil kepimpinan pelajar di universiti pada masa akan datang tidak akan bermaya atau hanya sebagai pak turut sahaja.

Jika sistem berkenaan tidak sesuai untuk didedahkan kepada murid-murid sekolah, lebih baik hapuskan sahaja tajuk berkenaan yang terdapat di dalam subjek Sejarah. Hapuskan juga tajuk mengenai tokoh-tokoh negara yang berjuang menuntut kemerdekaan kerana tokoh-tokoh ini adalah pendokong kuat demokrasi berpelembagaan. Dibimbangi mereka akan menjadi idola pelajar-pelajar kita.

Kita perlu sedar bahawa sistem ini sebenarnya telah lama dipraktikkan di kebanyakkan sekolah. Kenapa kita perlu takut dengan bayang-bayang sendiri. Di luar Negara, sekolah tingginya mengadakan pilihanraya bagi memilih ketua pelajar. Dengan menyekat program berkenaan kita bukannya maju ke hadapan, tetapi kita telah mundur ke belakang. Inikah pendidikan bertaraf dunia yang diharapkan?

Saya berpendapan adalah lebih baik KPM menyediakan satu garis panduan bagi mengawal dan menambahbaik piliharaya di sekolah-sekolah. Galakan perlu diberikan kepada sekolah-sekolah yang belum melaksanakan sistem ini.

Tindakan menghalang sistem berkenaan dari dilaksanakan di sekolah-sekolah adalah satu tindakan yang terburu-buru dan tanpa melalui kajian ilmiah yang mendalam. Janganlah kita menyekat perkembangan murid-murid kita hanya dengan satu alasan yang umum dan rapuh.

SERI
-harakahdaily.net-

Tiada ulasan: