"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Umno dalangi siasat 37 guru ‘agen pembangkang’

Dzulfikar Mashoor
SEBERANG PRAI, 1 Mac:
Seramai 37 guru yang dianggap sebagai 'agen pembangkang' di beberapa sekolah menengah dan rendah di seluruh Pulau Pinang, Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) secara tidak demokratik telah mengadakan siasatan tidak rasmi ke atas mereka yang terbabit sejak Selasa lalu.

Salah seorang guru yang enggan namanya diketahui semalam memberitahu Harakahdaily bahawa Timbalan Pengarah JPN, Ahmad Tarmizi Kamaruddin dan Ketua Sektor Jaminan Kualiti JPN, Daud Hasanuddin merupakan wakil JPN semata-mata yang mengendalikan siasatan itu.

“Sebenarnya arahan itu (soal siasat) datang daripada Badan Perhubungan Umno Negeri (dan) Ahmad (Tarmizi) serta Daud sebagai wakil sahaja untuk siasat kesemua 37 kami.

“Umno Pulau Pinang yang buat aduan kepada Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM) dan KPPM yang arah Pengarah JPN mengadakan siasatan tidak rasmi itu.,” jelasnya.

Menurut beliau, Pengarah JPN, Ibrahim Mohamad terpaksa bersetuju mengadakan siasatan tidak rasmi tersebut mungkin disebabkan tidak selesa dengan desakan berkali-kali daripada pihak atasan.

“Sebab Umno negeri sendiri banyak kali mendesak Ibrahim Mohamad sebelum ini agar ambil tindakan kepada guru-guru terbabit yang didakwa agen pembangkang di sekolah,” jelas beliau.

Tambahnya lagi, sumber dalaman dalam JPN sendiri memberitahu bahawa Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaksa JPN mendapatkan latar belakang keluarga dan ideologi politik kedua-dua ibu dan bapa bagi kesemua guru-guru terbabit.

“Saya dan semua turut dipaksa memberitahu latar politik ibu bapa masing-masing (dan) latar belakang keluarga (secara) terperinci kerana Datuk Zahid minta semua itu.

“Ini bukan maklumat guru-guru biasa, ini cakap ‘orang dalam’ di JPN sendiri,” jelasnya.

Ekoran itu, beliau melahirkan rasa kecewa kerana JPN sanggup dijadikan ‘alat politik’ Umno negeri walaupun terpaksa menceroboh hak asasi mereka yang terbabit.

“Saya cukup kecewa sebab kita (JPN) boleh jadi alat politik Umno, tak hormat hak privarsi guru-guru sedangkan Perlembagaan memberi hak kepada setiap rakyat untuk bersuara dan sokong mana-mana parti pihak,” jelasnya.

Dalam perkembangan yang lain, beliau menasihatkan JPN supaya tidak menganggap mereka sebagai agen pembangkang disebabkan segelintir mereka yang terbabit mempersoal inisiatif Umno memaksa guru-guru menyertai demontrasi anti Lim Guan Eng baru-baru ini.

“Jangan kerana kita mempersoal tindakan Umno mendesak guru-guru menentang Lim Guan Eng kononnya enggan meraikan (sambutan) Hari Keputeraan Nabi Muhammad s.a.w, kita sewenang-wenangnya dianggap ‘agen pembangkang’.”

Ditanya tentang motif di sebalik siasatan tidak rasmi tersebut, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa Ahmad Zahid mungkin bercita-cita menjadi Timbalan Perdana Menteri kelak.

“Datuk Zahid mungkin nak jadi Timbalan Perdana Menteri, sebab itu beliau perlu bekerja keras untuk membantu Menteri Pelajaran sekarang (Tan Sri Muhyiddin Yassin),” jelasnya.

Pun begitu, beliau menafikan bahawa Ahmad Zahid serta kepemimpinan Umno negeri secara langsung melibatkan diri dalam proses siasatan tidak rasmi JPN ke atas kesemua 37 guru terbabit.

1 ulasan:

Unknown berkata...

apa nak buat kuasa ada kat tangan mereka....