"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lagi kanak-kanak mati didera

Seorang kanak-kanak lelaki berusia 18 bulan meninggal dunia akibat didera setelah dipercayai dipijak sehingga tidak sedarkan diri di sebuah taman permainan di Kayu Ara, Damansara malam semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Arjunaidi Mohamed berkata laporan bedah siasat yang dilakukan oleh Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) hari mengesahkan tulang rusuk kanak-kanak malang itu retak selain hatinya pecah serta terdapat banyak kesan lebam pada badan mangsa.

Beliau berkata kejadian itu berlaku antara 10 hingga 12 malam semalam di Pangsapuri Seri Ara, Damansara selepas mangsa ditinggalkan ibu bapanya kepada neneknya untuk dijaga bagi menyelesaikan urusan peribadi.

Bagaimanapun, akibat kebimbangan meninggalkan anaknya kepada nenek yang uzur, ibu mangsa kemudian menghubungi jirannya yang pernah menjaga mangsa selama dua minggu tahun lepas.

"Ibu mangsa sebenarnya risau untuk menyerahkan mangsa kepada pasangan itu kerana disyaki pasangan tersebut pernah mendera mangsa berdasarkan kesan luka di badan, tetapi terpaksa berbuat demikian demi keselamatan mangsa," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Petaling Jaya, hari ini.

Arjunaidi berkata suspek, seorang lelaki berusia 33 tahun yang bekerja sebagai kelindan lori, dikatakan telah masuk ke rumah nenek mangsa untuk mengambilnya tetapi mangsa enggan mengikutnya.

"Setelah dipujuk dengan gula-gula, mangsa mengikut lelaki itu yang kemudian membawanya ke taman. Di taman itulah mangsa dipijak sehingga tidak sedarkan diri," katanya.

Melihatkan keadaan mangsa yang tidak sedarkan diri, katanya lelaki itu kemudian membawa mangsa ke sebuah klinik berhampiran untuk rawatan sebelum dihantar ke PPUM.

"Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira 12 malam tadi," katanya.

Ini kejadian kedua kematian kanak-kanak akibat didera dalam tempoh seminggu.

Khamis lalu, Syafiah Humairah Sahari, 3, meninggal dunia selepas dipercayai didera teman lelaki ibunya di padang bola berhampiran rumah mereka di Taman Batu 30, Ulu Yam Lama, Batang Kali.

-Bernama-

Tiada ulasan: