"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ribuan sambut keberangkatan pulang Sultan

Salmah Mat Husain
PENGKALAN CHEPA, 4 Mac:
Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra berangkat pulang ke sini dari Singapura tengah hari tadi.

Baginda tiba dengan jet khas kira-kira jam 12.30 tengahari setelah mendapat rawatan lanjut Hospital Mount Elizabeth sejak 24 Mei tahun lepas.

Sebaik tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra baginda kelihatan berkerusi roda dan disambut Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, anggota-anggota Exco kerajaan negeri, wakil-wakil rakyat, pegawai kanan kerajaan dan rakyat jelata.

Turut kelihatan anggota parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah. Ribuan rakyat Kelantan sejak awal lagi menunggu kepulangan baginda.

Sebaik sahaja tiba di lapangan terbang baginda dibawa pulang ke Istana Mahkota Kubang Kerian kira-kira jam 12.50 tengah hari.

Difahamkan baginda akan mendapat rawatan fisioterapi.

Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia, Datuk Mohammed Ghani berkata, kepulangan baginda diharap dapat memberi suntikan semangat baru kepada rakyat.

“Keberangkatan pulang baginda sedikit sebanyak dapat mengubati kerinduan rakyat kepada baginda.

“Apa pun kami berharap semoga Tuanku cepat sembuh serta dapat menjalankan tanggungjawab dengan sempurna, itu doa rakyat jelata dan ahli persatuan kami,” katanya ketika ditemui.

Sultan Kelantan sebelum ini mengalami masalah jantung. Ekoran itu baginda dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian pada 14 Mei lalu sebelum mendapat rawatan susulan di Singapura.

Tiada ulasan: