"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sultan Perak dimohon tak perkenan sidang DUN

Ketua DAP Perak Datuk Ngeh Koo Ham hari ini mendakwa jika Datuk R Ganesan diiktiraf sebagai speaker Perak yang sah, perkara itu akan menggugat sistem raja berpelembagaan di negara ini.

Ini kerana menurut beliau yang juga ADUN Sitiawan, Ganesan dipilih secara tidak sah.

Beliau mendakwa, Ganesan dilantik sebagai 'speaker' oleh ADUN BN dalam sidang DUN pada 7 Mei lalu ketika Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah belum merasmikan sidang.

Katanya, Ganesan dilantik ketika sesi pagi iaitu kira-kira jam 10.30 pagi sedangkan Raja Nazrin merasmikan sidang DUN kira-kira jam 3 petang.

"Jika Sultan Perak mengiktiraf Ganesan, kepercayaan rakyat terhadap institusi beraja akan merosot.

"BN juga sudah memulakan tradisi bahawa perasmian sidang DUN oleh Sultan atau Raja Muda tidak diperlukan kerana speaker boleh dilantik sebelum sesi bermula," katanya pada sidang akhbar di Ipoh hari ini.

Ngeh yang juga timbalan setiausaha agung DAP juga mempertikaikan sesi pagi yang dipengerusikan oleh adun Jelapang, Hee Yit Foong ketika proses pelantikan Ganesan.

Ini kerana Hee tidak dibenarkan memasuki sidang DUN kerana sudah meletak jawatan sebagai wakil rakyat.

Hee, bekas wakil rakyat DAP dan dua lagi adun bebas tidak dibenarkan memasuki sidang DUN ketika itu kerana speaker yang disingkirkan V Sivakumar mendakwa mereka sudah meletak jawatan berikutan tindakan ketiga-tiganya keluar parti masing-masing.

Dua lagi wakil rakyat bebas itu adalah adun Behrang, Jamaludin Mohd Radhi dan adun Changkat Jering, Mohd Osman Jailu.

Tindakan ketiga-tiga adun yang berpaling tadah itu membolehkan BN menubuhkan kerajaan Perak pada 6 Februari tahun lalu.
- malaysiakini-

Tiada ulasan: