"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Usul royalti: Tak salah kami sokong, kata BN Kelantan

G. Manimaran dan Mohd Zuharman

KOTA BARU, 3 Mac: Barisan Nasional (BN) Kelantan mempertahankan tindakan wakil rakyatnya mengambil bahagian dalam perbahasan usul yang dibawa kerajaan negeri Kelantan untuk merujuk tuntutan royalti minyak di mahkamah.

Sehubungan itu, Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Datuk Mohd Alwi Che Ahmad berkata pihak yang mempersoalkan tindakan mereka kelmarin sebenarnya tidak faham rasional pendirian wakil BN.

“Adun BN hanya menyokong agar usul dibahaskan dan kami mengambil bahagian dalam perbahasan.

“Tetapi apabila sampai masa untuk mengundi, kami tidak mengundi... ini kena faham. Kalau kita tidak menyertai perbahasan, bagaimana kita hendak menyatakan hujah kita (pendirian BN dan kerajaan pusat) dalam isu pertikaian ini... mereka (kerajaan negeri) hendak mentafsir menerusi mahkamah, jadi kami berhujah supaya bawa kes ini ke mahkamah,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini.

Beliau yang juga Adun Kok Lanas dan Setiausaha BN Kelantan berkata, Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein (gambar) mungkin salah faham dengan sebab pihaknya berbuat demikian.

“Orang yang faham fahamlah dengan apa yang berlaku. Kalau tidak faham, maka tak fahamlah mereka dengan keadaan di Kelantan,” katanya lagi sambil menambah suasana di Kelantan berbeza dengan negeri lain termasuk Terengganu.

Hishammuddin merupakan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu.

Justeru Mohd Alwi menambah, Hishammuddin “sepatutnya berkata (memberitahu wartawan) akan merujuk kepada kami sebelum berkata demikian”.

“Apa yang kami lakukan ini bertujuan mempertahankan kerajaan, sebab itu Pemuda Umno (pusat) membuat kenyataan yang betul (bahawa tindakan kami adalah betul),” kata beliau lagi.

“Hanya satu panggilan yang memisahkan saya daripada Hishammuddin... beliau (sepatutnya) telah menghubungi saya untuk mendapatkan penjelasan,” katanya lagi.

Malah Mohd Alwi berkata, beliau telah berbincang dengan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed dan juga timbalannya Datuk Dr Awang Adek Husien sebelum usul itu dibahaskan.

“(Dalam suasana ini) kita kena bertindak sebagai ahli politik yang tenang, bijak dan matang... ini adalah mainan politik... ini sudah jadi satu pertikaian, jadi biar bawa ke mahkamah,” katanya.

Beliau berpendapat bahawa jika pertikaian itu dibawa ke mahkamah ia tidak boleh dijadikan bahan percakapan kerana boleh dianggap prejudis.

Mohd Alwi diminta mengulas laporan bahawa kemungkinan mengambil tindakan terhadap anggotanya yang menyokong usul dibawa kerajaan negeri Kelantan untuk membawa tuntutan royalti minyak ke mahkamah.

Semalam, Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata parti itu akan mendapatkan pandangan daripada ahli-ahli parti di peringkat akar umbi sebelum mengambil tindakan.

Kesemua Adun bangun sebagai menyatakan sokongan kepada usul itu untuk dibahaskan, termasuk Mohd Alwi, Mat Yusof Abdul Ghani (BN – Nenggiri) dan Datuk Abdul Rashid Aziz (BN – Kuala Balah).

Adun Barisan Nasional yang tidak berdiri ialah Datuk Nozula Mat Diah (BN–Paloh) dan Adhan Kechik (BN – Bukit Bunga) manakala Datuk Noorzahidi Omar (BN – Pengkalan Kubur) tiada dalam dewan ketika itu.

Bagaimanapun ketika usul diluluskan tiada wakil BN dalam dewan, kata Mohd Alwi.

“Sebab itu ia diluluskan 39-0 bukannya 45-0,” katanya.

Oleh itu kata Mohd Alwi, terserah kepada pucuk kepimpinan jika mahu mengambil tindakan.

“Kami ini bukan bodoh... jangan kata sembarangan,” kata Mohd Alwi sambil menambah, “kami tidak bertindak sembarangan.”

Dalam pada itu, Noorzahidi yang juga Setiausaha Umno Kelantan berkata, kalau salah keenam-enam Adun BN perlu dikenakan tindakan.

“Kalau undi tanda sokongan isu tersebut dibawa ke mahkamah, bagi saya tak salah.

“Sebab sebelum ini pun kerajaan persekutuan memang mengalu-alukan supaya kes tersebut dibawa ke mahkamah,” katanya.

Usul tersebut dikemukakan selepas selesai sesi soal jawab secara lisan.

Usul berkenaan berdasar kepada peruntukan Peraturan Tetap Dewan Negeri Kelantan Perkara 30 (1) bagi cadangan menangguh persidangan kerana merundingkan perkara-perkara mustahak bagi orang ramai.

Usul terbabit berbunyi, “bahawa DUN memberi mandat kepada MMK bagi pihak kerajaan negeri mengambil apa-apa tindakan mahkamah yang bersesuaian bagi mendapatkan bayaran tunai yang terhak kepada rakyat dan kerajaan Kelantan mengikut perjanjian dan penyerah hakkan kuasa-kuasa petroleum sama ada di daratan atau di lautan negeri Kelantan yang ditandatangani pada 1975.

“Seperti mana kehendak undang-undang tunggal yang berkaitan dengan pengeluaran petroleum iaitu Akta Pembangunan Petroleum 1974, pada bila-bila masa yang difikirkan oleh kerajaan negeri.”

-malaysianinsider-

Tiada ulasan: