"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Konsep kebebasan kehakiman

Khalid Samad
Telah berkata Syarieh (Hakim Zaman Saidina Ali di Kufah):

Apabila bergerak tentera Saidina Ali ke peperangan dengan Muawiyah di Siffin, terjatuh baju perisainya. Apabila beliau pulang dari peperangan tersebut ke Kufah, didapati bahawa baju besi tersebut berada di tangan seorang Yahudi yang menjual baju besi tersebut di pasar Kufah.

Maka berkata Saidina Ali kepada Yahudi tersebut : “Wahai orang yahudi, ini baju perisai saya, tidak pernah saya menjualnya atau menghadiahkannya”.

Berkata Yahudi itu: “Ini baju perisai ku dan ia berada di tangan ku”.

Berkata Saidina Ali: “Kita bawa perkara ini kepada hakim”.

Maka perkara ini dibawa kepada hakim Syarieh, maka duduklah Saidina Ali sebelah hakim dan duduklah orang yahudi tersebut di depan hakim tersebut.

Berkata Syarieh: “Katakanlah wahai Amirul Mukminin”.

Berkata Saidina Ali: “Ya. Bahawa baju besi yang ada di tangan Yahudi ini adalah baju besi ku dan tidak pernah ku menjual atau menghadiahkannya kepada sesiapa”.

Syarieh: “Ada buktikah wahai Amirul Mukminin?”

Saidina Ali: “Ada. ‘Qunbar’(hamba Saidina Ali), Hasan dan Husain adalah saksi bahawa baju besi itu memang milik ku”.

Syarieh: “Kesaksian anak tidak diterima pakai bagi bapanya”.

Saidina Ali: “Lelaki daripada ahli syurga tidak boleh dijadikan saksi? Aku pernah mendengar Nabi Muhammad bersabda bahawa Hasan dan Husain adalah ketua kepada para pemuda di syurga”.

Berkata si Yahudi itu: “Amirul Mukminin telah membawa saya berjumpa dengan hakim, dan hakim tersbut memutuskan hukuman ke atasnya!!! Maka sesungguhnya ini adalah kebenaran. Aku naik saksi bahawa tiada tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad adalah pesuruh Allah. Dan sesungguhnya baju besi ini memang baju besi mu (Ali). Pada ketika itu, saya sedang menaiki unta dan kamu sedang menuju siffin, maka terjatuh baju besi kamu pada belah malam. Maka saya ambil baju besi tersebut”.

Berkata Yahudi itu lagi: “Sekiranya saya katakannya, maka ianya milik kamu”.

(Dipetik dari m/s 226, sirah Amirul Mukminin Ali, Dr. Ali Mohd As-Solabi)

Acapkali apabila isu kebebasan institusi kehakiman negara diketengahkan, akan terdapatlah di kalangan ahli UMNO/BN menjawab bahawa konsep (kebebasan) ini merupakan konsep Barat. Malah, mereka juga telah turut berkata, “Kita mempunyai konsep kita sendiri dan tidak perlu kita mencontohi Barat!” Maka, mungkin inilah di antara sebab, mengapa orang Melayu Islam di negara ini tidak merasakan persoalan kebebasan institusi kehakiman sebagai satu isu yang perlu mereka pertahankan. Ianya datang dari Barat dan tiada kena mengena dengan Islam. Begitulah tanggapan mereka.

Namun, dari kisah di atas, amat jelas bahawa mengikut sistem pemerintahan Islam, hakim bebas dari pengaruh eksekutif. Dalam kisah yang dikemukakan, Saidina Ali yang merupakan Khalifah pada masa itu, berdepan dengan Syarieh, hakim Kufa dan terpaksa mengemukakan bukti untuk memenangkan tuntutan beliau. Walaupun Saidina Ali merupakan seorang Khalifah, namun hakim Syarieh terus mengikut peraturan dan perundangan, tidak menuruti sahaja tuntutan Saidina Ali.

Kalau difikirkan secara rasional, sudah pasti dikatakan bahawa tidak mungkin Saidina Ali akan bercakap bohong atau Hasan dan Hussein memberi persaksian yang palsu. Namun undang-undang bukan mengikut individu yang dihakimi, yang mana jika orang tersebut dikenali, maka tiada bukti yang diperlukan, tetapi sekiranya tidak dikenali, maka bukti adalah perlu! Tidak juga berdasarkan pangkat di mana kalau Khalifah, maka mesti wala’, thiqah dan taat padanya walau sebesar manapun isunya dan berikan sahaja keputusan yang dikehendakinya. Keadilan di sisi perundangan adalah berdasarkan prinsip perundangan yang sama adil dantidak mengambil kira siapa yang dibicara. Bukti bagi yang mendakwa dan sumpah bagi yang dituduh.

Kebebasan institusi kehakiman seperti yang ditunjukkan dalam kisah di atas menjadi bukti keadilan sistem Islam. Ianya merupakan sesuatu yang amat janggal pada zaman itu sehingga menyebabkan orang Yahudi berkenaan memeluk Islam. Keadilan sememangnya akan hanya mampu ditegakkan oleh institusi kehakiman yang bebas, yang tidak dipengaruhi oleh pihak eksekutif atau kerajaan yang memerintah.

Malangnya ummat Islam telah kehilangan kesedaran yang seperti ini. Mereka melihat soal kebebasan institusi kehakiman sebagai sesuatu yang tiada kena mengena dengan Islam. Oleh itu kerajaan-kerajaan negara ummat Islam dewasa ini tidak lagi menjadi contoh ataupun sebutan apabila membincangkan persoalan kebebasan institusi kehakiman. Malaysia sendiri adalah satu contoh yang jelas bagaimana institusi kehakiman telah dirosakkan oleh pemerintah yang tidak menghormati prinsip keadilan.
Pengendalian kes pembunuhan Altantuya merupakan kes yang menjadi bahan ketawa masyarakat antarabangsa. Awal-awal lagi diumumkan hanya pegawai polis yang dihadapkan kemuka pengadilan sahaja yang terlibat - tiada yang lain. Akhirnya pegawai polis yang tidak mengenali Altantuya dan tiada sebab untuk membunuhnya telah didapati bersalah walaupun satu dunia tahu bahawa mereka ini tidak akan bertindak tanpa menerima arahan pihak atasan. Sejauh mana atas, tiada usaha untuk mengambil tahu.

Begitu jugalah dengan kes berhubung DSAI. Semua tahu bagaimana pertuduhan ini langsung tidak masuk akal. Tidak mungkin seorang seperti DSAI, dengan umurnya yang meningkat dan keadaan kesihatan beliau yang terjejas, mampu memaksa dirinya ke atas pemuda yang bernama Saiful. Walaubagaimanapun, yang jauh lebih penting, telah pun jelas dari pemeriksaan doktor bahawa tidak ada bukti Saiful diliwat! Itu dengan sendirinya pun telah cukup untuk kes ini dibuang. Namun, atas sebab kepentingan politik dan campur tangan pihak eksekutif, ianya diteruskan dan DSAI terus menjadi buruan mereka.

Ini mengakibatkan, taraf dan mutu penghakiman di Negara ini dilihat begitu rendah sehingga terpaksa dibuatnya memorandum oleh 50 orang Ahli Parlimen Australia meminta kes ini ditarik balik. Begitu juga kenyataan oleh mantan Perdana Menteri Canada dan yang terbaru ini, oleh Dr. Yusuf Qardawi sendiri. Dr Yusuf Qardawi sehingga telah menfatwakan sesiapa yang percaya kepada tuduhan terhadap DSAI adalah fasik dan golongan yang mengusahakan pertuduhan ke atas DSAI ini adalah munafik.

Oleh yang demikian, ummat Islam Malaysia mesti memahami bahawa institusi hakim yang bebas adalah di antara prinsip pemerintahan Islam. Ianya merupakan satu prinsip yang perlu dipertahankan demi menjamin keadilan terlaksana. Melaksanakan keadilan adalah wajib dan ianya tidak mungkin terlaksana tanpa institusi kehakiman yang bebas. Oleh itu institusi kehakiman yang bebas merupakan satu kewajipan berdasarkan kaedah fiqh 'Sesuatu yang tidak terlaksana kewajipan kecuali dengannya, maka ianya adalah wajib'.

Pada masa yang sama, institusi kehakiman yang diperalatkan untuk kepentingan pihak pemerintah adalah merupakan satu kezaliman dan sebagai ummat Islam, kita juga berkewajipan untuk menentang kezaliman.WaLlahu 'Alam.
http://www.khalidsamad.com

Tiada ulasan: