"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Umno tidak pernah hormati Perlembagaan

Dzulfikar Mashoor
PETALING JAYA, 4 Mac:
Ketua Penerangan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kayat mendakwa Umno tidak pernah menghormati empat inti utama Perlembagaan, iaitu Islam sebagai agama rasmi, kedudukan istitusi raja berperlembagaan, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan kedudukan istimewa rakyat Melayu.

“Umnolah yang nak hapuskan agama Islam dari Persekutuan, nasib baik Majlis Raja-Raja Melayu tampil mempertahankan penggunaan nama Islam untuk terus digunakan pertubuhan, termasuk oleh PAS sebelum ini,” jelas beliau dalam forum Dasar Bersama Pakatan Rakyat dan Masa Depan Politik Malaysia, malam tadi

Beliau yang juga Naib Ketua Pemuda PAS Johor menegaskan bahawa Umno turut bertanggungjawab membiarkan pelajar-pelajar berbangsa Melayu hidup dalam berhutang apabila menghapuskan biasiswa yang menjadi manifestasi hak istimewa orang Melayu menurut Perlembagaan.

“Begitu juga dengan hak istimewa orang Malayu, Umnolah yang menukarkan biasiswa pada PTPTN (Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional) hingga semua anak Melayu dipaksa hidup dalam berhutang,” tegas beliau di depan lebih 200 pendengar yang hadir.

Tambahnya lagi, Umno jugalah yang bertanggungjawab meminggirkan bahasa Melayu di tanah air dengan memperkenalkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sebelum ini.

“Tidak seperti Umno, walaupun bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi menurut Perlembagaan, dialah (Umno) seolah-olah mengetepikan Perlembagaan dengan memperkenal dasar PPSMI.”

Berbeza dengan muafakat Pakatan Rakyat, beliau berkata, PAS, DAP dan PKR dilihat saling menghormati prinsip kepartian masing-masing, di samping memberi jaminan untuk memelihara hak-hak yang sedia ada menurut Perlembagaan.

“Dasar Pakatan Rakyat yang baru ini dilihat berbeza dengan dasar Umno Barisan Nasional sebelum ini di mana kesepakatan ketiga-tiga parti politik ini (iaitu PAS, DAP dan PKR) saya lihat, begitu menghormati kepelbagaian yang sedia ada,” jelasnya.

“Dasar bersama yang dibuat dalam Konvensyen Pakatan Rakyat Disember lepas, saya lihat begitu jelas menghormati Perlembagaan Malaysia itu sendiri.”

Budaya seling menghormati itu, menurut beliau, sekaligus menafikan dakwaan Umno sebelum ini, iaitu PAS, PKR dan DAP tidak mampu memerintah Malaysia kerana mempunyai cita-cita politik yang berbeza-beza.

“Sebelum ini, 3 parti politik ini dianggap oleh Umno (dan) BN sebagai tidur satu bantal tetapi mimpi lain-lain. PAS dianggap sebagai ekstremis agama ala Taliban di Afghanistan, DAP pula dianggap sebagai parti cauvinis Cina berideologi komunisme dan PKR pula dianggap sebagai agen Yahudi di Malaysia,” ujarnya.

Beliau turut menjawab beberapa tuduhan yang lazim dilemparkan oleh Umno kepada Pakatan Rakyat.

“Kalaulah DAP sebagai cauvinis Cina, takkanlah mereka bersetuju dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi (menurut Perlembagaan).

“Sekiranya benar, PAS berfahaman ekstrem, sudah tentu PAS tidak boleh menerima pendekatan toleransi yang diperkenalkan dalam Pakatan Rakyat.

“PKR pula dituduh sebagai pro Yahudi sedangkan rakyat umum tertanya-tanya tentang hubungan Datuk Seri Najib Tun Razak (Perdana Menteri Malaysia) dengan sebuah konsultan perunding imej yang dikaitkan dengan Yahudi,” jelasnya.

Selain Suhaizan, forum tersebut turut membariskan Nurul Izzah Anwar (Ahli Parlimen Lembah Pantai), Amiruddin Shari (Adun Batu Caves), Nik Nazmi Nik Ahmad (Adun Seri Setia), Chin Tong (Adun Bukit Bendera) merupakan antara panelis yang diminta membahaskan proposal berkaitan dasar-dasar bersama PAS, DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat.

Dalam perkembangan berkaitan, forum anjuran Sepakat tersebut merupakan forum lanjutan pada Konvensyen Pakatan Rakyat pada 19 Disember tahun lalu.

Tiada ulasan: