HAMAS YASSIN
SEJARAH membuktikan Umno dari dahulu sampai sekarang memang tidak mempedulikan kedudukan bahasa Melayu. Hal ini jelas sejak zaman Umno era Dato' Onn Jaafar sehingga Umno (Baru) Dr Mahathir Mohamad.
Walaupun Umno memperuntukkan Fasal 152 tentang kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan, kedudukan bahasa Inggeris yang hampir sama rasminya dengan bahasa Melayu masih ditentukan Parlimen setelah 10 tahun merdeka.
Setelah merdeka, Umno masih tidak memperlihatkan pentingnya pendidikan dalam bahasa Melayu. Perjuangan memartabatkan bahasa Melayu dilakukan Kesatuan Persekutuan Guru-guru MelayuSemenanjung (KPGMS) pada Dis 1957 apabila dalam mesyuarat agungnya KPGMS menggesakan ahli-ahlinya keluar Umno sekiranya sekolah menengah Melayu tidak segera dilaksanakan.
Oleh sebab Umno bersikap dingin dengan tuntutan itu, KPGMS mengadakan mesyuarat agung luar biasanya pada 31 Januari 1958 dan memberi tempoh 15 hari kepada ahli-ahlinya keluar Umno beramai-ramai. Disebabkan keangkuhan Umno yang tidak menghiraukan tuntutan KPGMS maka seramai10,000 ahli KPGMS yang menjadi ahli Umno keluar parti. Peristiwa ini menjadi tamparan kepadaUmno dan akibatnya parti itu kehilangan Kelantan dan Terengganu ke tangan PAS pada pilihanraya 1959.
Pada 1967 tercetus perjuangan bahasa yang besar akibat peruntukan Fasal 152 tentang kedudukan bahasa Inggeris selepas 10 tahun merdeka yang masih memberikan kuasa pada Parlimen menentukan taraf kerasmian bahasa Inggeris.
Rang Undang-undang Bahasa Kebangsaan 1967 yang dikemukakan pada 23 Feb 1967 tidak memihak kepada kedudukan rasmi bahasa Melayu. Maka ketika rang undang-undang tersebut hendak diluluskan pada 3 Mac 1967, berhimpun kira-kira 1500 orang mewakili 120 pertubuhan Melayu di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kemuncak perhimpunan tersebut, mereka berarak ke kediaman Tunku Abdul Rahman dengan mengusung keranda yang tertulis 152.
Sikap tidak mengambil peduli Umno dalam memartabatkan bahasa Melayu terserlah apabila kerajaan hanya menubuhkan sebuah universiti yang bahasa pengantarnya bahasa Melayu selepas lebih 13 tahun merdeka ekoran tragedi 13 Mei 1969 dengan menubuhkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1970.
Sikap Umno memandang rendah terhadap bahasa Melayu berlaku lagi pada 19 Julai 2002 apabila Perdana Menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad mengumumkan bahawa mulai Januari 2003, pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik diajarkan dalam bahasa Inggeris (PPSMI).
Walaupun keputusan tersebut menerima bantahan daripada para ilmuan dan cerdik pandai termasuk 68 orang profesor dalam bidang sains dan matematik, Dr Mahathir dengan angkuhnya terus melaksanakan PPSMI pada 2003.
Setelah bantahan demi bantahn tidak dihiraukan Umno, maka satu gerakan yang dinamakan Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) dilancarkan pada 31 Januari 2009 di kompleks Sogo. GMP dianggotai 140 pertubuhan bukan kerajaan termasuk dari parti-parti politik Pakatan Rakyat.
GMP berarak pada 7 Mac 2009, disertai kira-kira 100,000 orang, yang memenuhi jalan raya darikompleks Sogo ke Istana Negara. Perarakan itu dihujani gas pemedih mata dan air asid oleh anggota Unit Pasukan Simpanan (FRU).
Walaupun dilaporkan akhbar pencacai Umno bahawa ia hanya disertai 5,000 atau 10,000 orang, tetapi mengikut para pemerhati, ia merupakan perarakan paling bersejarah dari segi jumlah pesertanya.
Telah berlaku perkara yang agak melucukan sebelum perarakan GMP itu apabila Gapena mengadakan majlis ratap dan ratip mengenang nasib malang bahasa Melayu pada 15 Februari 2009. Kononnya bagi mengambil semangat Fasal 152 Perlembagaan Persekutuan. Sedangkan semasa PPSMI dilaksanakan, Gapena khabarnya turut menyokongnya.
Kemuncak kepada acara ratap dan ratip tersebut, Gapena membuat laporan polis terhadap kerajaan atau Umno kerana tidak menghormati Fasal 152 tersebut. Perbuatan Gapena membuat laporan polis terhadap terasingnya bahasa Melayu seolah-olah sama seperti orang yang kehilangan lembu melaporkan kepada polis tentang kehilangan lembu mereka. Dari segi ini, amatlah rendah taraf bahasa Melayu kepada Gapena.
Apabila GMP membuat perarakan pada 7 Mac 2009, 'panglima-panglima' yang membuat laporan polis dalam Gapena mengolok-olokkan GMP dengan berkata bahawa perarakan tersebut tidak akan mendapat sambutan dan hanya akan disertai setakat dua tiga bas sahaja. Mereka jug mendakwa golongan intelektual tidak akan berarak sama.
Gapena mungkin tidak sanggup mencemarkan darjat mereka bersama rakyat seperti dilakukan GMP atau tidak cukup berani untuk bersama rakyat kerana takut kehilangan laba dan untung daripada Umno.
Walaupun Gapena dan juak-juaknya tidak berani turun ke jalan raya dan menganggap GMP tidak bersikap intelektual, namun apabila Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Muhyiddin Yassin mengumumkan pemansuhan PPSMI pada 8 Julai 2009, tetapi "panglima-panglima" Gapena inilah yang paling dahulu memaparkan wajah-wajah 'tidak tahu malu' mereka di hadapan televisyen dan wartawan.
Pada keesokan harinya, mereka mendakwa bahawa perjuangan Gapenalah yang memansuhkan PPSMI. Turut membuat dakwaan itu ialah Ketua Pengarah DBP.
Hal yang sangat melucukan berlaku lagi pada 15 Februari apabila Gapena dan awak-awaknya mengadakan satu seminar dengan nama Hari Pejuang Bahasa. Alahai, senangnya mereka mengaku sebagai pejuang bahasa. Ia umpama sikap Umno yang tidak pernah masuk penjara atau bilik tahanan, tetapi mendabik dada sebagai pejuang kemerdekaan.
Bilakah Ismail Hussein dan Zainal Keling ditembak dengan gas pemedih mata dan air asid semasa berjuang menghapuskan PPSMI? Mungkin orang Melayu dan rakyat Malaysia boleh menjawabnya. Oleh kerana telah ada orang yang mengakui diri mereka sebagai pejuang yang memansuhkan PPSMI, maka kita yang disembur air asid dan gas pemedih mata pada hari kejadian patut mengingati tarikh keramat ini.
Dan sebagai ingatan pada tarikh berkenaan, maka pada 7 Mac 2010 ini marilah kita beramai-ramai merayakannya di Auditorium Muzium Selangor, Shah Alam dari jam 8.30 hingga 12.00 tengah hari.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan