"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kerajaan Kedah Dalam Bahaya!

Mohd Sayuti Omar

APA boleh buat mungkin sudah takdir Allah s.a.w. untuk menguji sejauh mana kekuatan kerajaan Pakatan Rakyat? Selepas kerajaan Perak dirampas Januari tahun lepas kini kerajaan Pakatan Rakyat Kedah pula sedang dilambung gelombang. Kedudukan kerajaan Pakatan Rakyat yang diungguli Pas kini benar-benar dalam bahaya.

Apakah kerajaan Kedah juga akan menerima nasib sama dengan kerajaan Perak? Walaupun Mukhriz Mahathir hari ini memberi jaminan BN akan merampas Kedah secara terhormat tetapi kata-kata itu tidak boleh dipercayai.

Gerakan untuk menjatuhkan atau merampas Kedah sebelum sampai edahnya (genap penggal parlimen ke-12) sudah berjalan sejak lama dulu. Malahan ia hampir serentak dengan usaha untuk menjatuhkan Perak dan Selangor.

Hari ini bahaya yang bakal menimpa kerajaan pimpinan Azizan Abdul Razak itu tidak dapat disembunyikan lagi. Makin ditutup nampaknya ia makin membekah dan meluas. Cerita-cerita yang kedengaran di kedai kopi kini sudah menjadi separuh rasmi. Cerita kerajaan Pakatan Kedah akan dirampas atau DUN akan dibubarkan sudah menghantui pemikiran rakyat Kedah.

Semuanya berpunca daripada khabar tindakan dua orang anggota Exconya yang dikatakan sudah berubah haluan akan menyertai UBN bila-bila masa saja. Dua anggota Exco itu ialah Adun Bukit Selambau, S Manikumar dan Adun Kulim, Ling Soo Nee.

Tidak dapat dipastikan kenapa mereka dikatakan sedia untuk berpaling tadah. Apakah mereka sudah kena beli ataupun ada sesuatu yang menyinggungkan perasaan mereka sehinggakan sedia meninggalkan jemaah kerajaan negeri yang bakal memberi kesan buruk kepada kerajaan Pakatan Kedah. Apapaun perkhabaran ini memeningkan kepala Azizan Razak dan juga penasihat umum PKR, Anwar Ibrahim.

Sudah pasti kalau berita ini benar, kedua anggota Exco itu bertindak meninggalkan Pakatan Rakyat dan menyeberang kepada BN, kedudukan kerajaan Kedah mungkin akan bertukar tangan. Dengan penyeberangan itu menjadikan BN 16 kerusi, dicampur dengan Adun Lunas Md Radzi Salleh yang telah awal mengumumkan meninggalkan PKR menjadikan BN mempunyai 18 kerusi.

Kedudukan itu menjadikan kerusi Pakatan Rakyat akan tinggal 18 kerusi di mana 16 Pas satu PKR dan satu DAP. Jumlah itu walaupun Pakatan Rakyat masih boleh bertahan tetapi ia sangat lemah.

Sekiranya seorang calon bebas dan tiga anggota PKR itu menyertai BN ini keadaan jadi tambah rumit apabila kedudukan 18 - 18.

Azizan Razak sebelum ini sudah membayangkan kesediaannya untuk membubarkan DUN Kedah jika berlaku sesuatu ke atas kerajaannya. Tanggal 22 Mei depan katanya satu ceramah besar bakal diadakan Pakatan Rakyat di mana pada himpunan itu semua wakil rakyat termasuk dua Exco berkenaan akan diminta melapazkan ikrar.

Apa yang boleh difahami sekiranya ada wakil rakyat Pakatan yang enggan melapazkan ikrar, Azizan tidak ada pilihan lain melainkan terpaksa membuarkan Dewan Undangan Negeri Kedah. Tindakan itulah paling wajar sementara Pakatan masih mempunyai kelebihan satu dua kerusi.

Dalam pada itu sekejap tadi saya telah menerima panggilan dari ahli politik veteran dari Kedah yang turut menyatakan kebimbangannya terhadap kestabilan kerajaan Pakatan Kedah. Beliau melahirkan rasa cemas dengan apa yang berlaku di negeri Jelapang Padi itu. Katanya perkembangan setakat malam ini, Azizan tidak ada pilihan lain melainkan perlu membubarkan DUN Kedah kerana menurut yang beliau difahami kesemua ahli PKR Kedah akan menyertai BN?

Sejauh manakah maklumat ini? Tunggulah perkembangan

http://msomelayu.blogspot.com/

Tiada ulasan: