"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pasangan warga India bunuh anak sebelum terjun kondo

KUALA LUMPUR, 20 Mei: Kanak-kanak lelaki berumur dua tahun mati dipercayai diberi racun tikus manakala kedua ibu bapanya ditemui mati setelah terjun dari tingkat 29 sebuah kondominium mewah di Brickfields awal hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata mayat kanak-kanak itu yang dikenali sebagai Yoghansh Manish ditemui mati di rumahnya di tingkat 13 kondominium itu selepas mayat kedua ibu-bapanya dijumpai di belakang kondominum itu.

Bapa kanak-kanak itu dikenali sebagai Manish Dinseh, 34, seorang pegawai kewangan sebuah syarikat tempatan dan ibunya, Niveditaa Manish, 29, seorang suri rumah, kata Ku kepada pemberita di tempat kejadian.

Beliau berkata mayat pasangan itu ditemui pengawal keselamatan kondominium itu yang dikenali sebagai Mala, 30-an, ketika meronda pada pukul 7.30 pagi dan memaklumkan kepada polis.

Mayat pasangan Manish ditemui dengan kecederaan parah di kepala serta kesan kelar di tangan kirinya, sementara isterinya ditemui dalam keadaan mengiring berhampirannya.

Ku berkata apabila polis ke rumah pasangan terbabit di tingkat ke-13, mereka menemui Yoghansh dalam keadaan terbaring dengan ditutupi kain putih, dan terdapat kapas di dalam hidungnya dalam sebuah bilik di rumah itu.

Polis turut menemui racun tikus, pisau dan paracetamol dalam kuantiti yang banyak di dalam bilik itu, dipercayai digunakan untuk membunuh kanak-kanak itu.

Ku berkata siasatan awal mendapati selepas membunuh anak mereka pada kira-kira pukul 4 pagi, bapa kanak-kanak itu cuba membunuh diri dengan mengelar tangan kirinya berdasarkan tompokan darah di dalam bilik itu, tetapi gagal.

Pasangan itu kemudian dipercayai pergi ke tingkat 29 kondominum itu sebelum terjun bersama-sama.

Ku berkata pasangan itu yang tiba di negara ini pada pertengahan bulan lepas, menyewa kondominium itu sejak berada di sini.

Beliau berkata siasatan polis juga mendapati tiada unsur pergelutan atau kehilangan barang peribadi milik mereka dan kes ini diklasifikasi sebagai bunuh diri.

“Kesemua mayat dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat dan perkara ini akan dimaklumkan kepada Pesuruhjaya Tinggi India secepat mungkin,” katanya.

Sementara itu, seorang pengawal keselamatan kondominium terbabit, S.R. Harikrishnan, 30-an, berkata beliau bagaikan tidak percaya akan kejadian ini kerana tingkah laku pasangan ini menunjukkan mereka dari golongan yang baik-baik.

“Kawan saya, Mala tengah meronda nampak mayat, (kami) bagitahu polis… kami check CCTV berhampiran, (dan) nampak mereka terjun...,” katanya.
-Bernama-

Tiada ulasan: