"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kemenangan Pakatan di Sibu ubah lanskap politik negara

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 19 Mei:
Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (gambar) amat mengharapkan agar kemenangan Pakatan Rakyat di Sibu akan menjadi pemangkin yang akan merubah lanskap politik tanah air ke arah perubahan yang lebih bermakna kepada seluruh rakyat di negara ini.

Sehubungan itu, beliau bagi pihak PAS merakamkan ucapan tahniah kepada rakyat di Parlimen Sibu, Sarawak yang telah melakukan perubahan dengan memilih Ahli Parlimen baru Pakatan Rakyat dari Democratic Action Party (DAP) dalam Pilihan Raya Kecil P.212 Sibu pada 16 Mei 2010 lalu.

“Perubahan ini menandakan bahawa rakyat Sibu telah berjaya mengekang politik projek dan rasuah yang ditabur oleh parti lawan dalam pilihan raya berkenaan,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Katanya, kemenangan itu juga menunjukkan keberanian suara rakyat yang mempunyai harga diri dan tidak mampu digugat oleh janji serta ugutan dari jentera BN yang terus menerus berselindung di sebalik jentera kerajaan.

Menurutnya, serangan bertalu-talu tanpa henti oleh kepimpinan kerajaan BN, ditambah pula dengan wujudnya keraguan dalam undian pos telah juga berjaya dihadapi oleh seluruh jentera pilihan raya dari Pakatan Rakyat dengan cemerlang.

“Sehubungan dengan kemenangan ini juga saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua para petugas PAS yang datang dari seluruh pelosok negara, rakan-rakan dari PKR dan DAP yang telah mempermudahkan petugas dari PAS dan dalam masa yang sama telah menunjukkan semangat kerjasama yang tulen sehingga menyumbang kepada kemenangan ini,” ujarnya lagi

Tiada ulasan: