Abd Shukur
Walaupun Pilihan Raya Umum Ke-13 belum dapat dipastikan sama ada dalam tahun ini atau tahun depan, namun PAS sangat perlu menumpukan perhatian untuk menawan pengundi luar bandar, di samping pengundi bandar.
Pemerhati politik melihat bahawa hingga kini gerak kerja PAS belum banyak dapat menawan pengundi luar bandar, walaupun usaha ke arah itu sudahpun diadakan dengan pelbagai cara.
Menurut pemerhati politik itu lagi, pengundi bandar yang kelihatan kuat menyokong Pakatan Rakyat, khusunya PAS, namun itu belum cukup untuk memenuhi syarat bagi Pakatan Rakyat mencapai kemenangan dalam PRU Ke-13 nanti. Oleh itu, hanya dengan sokongan kuat dari pengundi luar bandar membolehkan Pakatan Rakyat mencapai kemenangan.Dari fakta yang ada menunjukkan pegundi luar bandar, khususnya di kawasan Felda, masih didominasi oleh Umno/BN. Kemenangan PAS di dua Dun di Muar, Johor – Sungai Abong dan Maharani Johor – dalam PRU Ke-12 yang lalu, belum cukup menghantar isyarat bahawa PAS sudah dapat menawan pengundi luar bandar. Bagaimanapun ini adalah petunjuk awal tanda perubahan trend pengundian di luar bandar.
Mestilah diakui, bahawa pengundi luar bandar, walaupun sudah ada beberapa perubahan seperti yang ditunjuk dalam PRU Ke-12 itu, namun luar bandar masih menjadi kubu Umno/BN dan ini nampaknya akan dipertahankan habis-habisan oleh parti yang berkuasa itu, memandangkan luar bandar adalah ‘kubur terakhir’ bagi mereka mempertahankan kuasa.
Untuk mempertahankan ini, Umno/BN akan mencurahkan segala bentuk bantuan projek segera dan tidak segera, curahan wang, pelbagai kemudahan dan segalanya sehingga memberikan tanggapan kepada pengundi luar bandar itu bahawa kemudahan, bantuan dan layanan seperti ini tidak akan diperoleh oleh penduduk luar bandar kiranya BN kalah dalam pilihan raya nanti. Kebanyakan generasi lama di luar bandar, bahkan ada juga di kalangan generasi baru, percaya dengan andaian ini. Inilah sebenarnya cabaran yang berat dihadapi oleh Pakatan Rakyat, khusunya PAS, yang akar umbinya banyak berpusat di luar bandar, di samping kawasan bandar.
Pengundi luar bandar kebanyakannya pekebun kecil, peneroka Felda, nelayan, peniaga kecil, kakitangan kerajaan peringkat daerah dan mukim, para pesara dan seumpamanya. Secara tradisi mereka melihat bahawa parti politik yang memerintah – sebagai tempat berlindung, mengadu masalah, memohon bantuan dan segalanya, disebabkan mereka mempunyai kuasa dan sumber kewangan.
Ini diperkukuh lagi dengan nostalgia generasi tua yang membandingkan kehidupan masa lalu, di musim pemerintahan Jepun, sebelum merdeka yang begitu nsusah dibandingkan dengan keadaan masa kini yang dilihat mereka ‘begitu selesa’. Bukan mudah untuk merobah pemikiran mereka seperti, kecuali dengan usaha sungguh-sungguh dan dengan mendekati mereka secara peribadi.
Kerajaan negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat seperti Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang pula mestilah menunjukkan contoh nyata bahawa pemerintahan mereka jauh lebih baik dari kerajaan BN dalam memberikan khidmat kepada rakyat.
Sementara itu, negeri yang terdapat banyak kawasan Felda seperti Johor, Pahang, Perak dan beberapa negeri lagi sewajarnya menjadi tumpuan PAS untuk menarik pengundi di sana ke arah pengundi PAS. Gerak kerja Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), sebuah badan NGO peneroka Felda, pimpinan Mazlan Aliman sudahpun melakukan kerja terbaik untuk menyedarkan peneroka Felda akan hak mereka dan membuat perubahan dalam pemikiran mereka.
Saya tertarik dengan ucapan Mazlan Aliman dalam Muktamar Tahunan PAS di Putik, Kelantan Jun lalu supaya pendukung PAS mengadakan approachperibadi dengan peneroka Felda, ertinya, bertemu dan berbicara dengan mereka secara peribadi untuk menjalin hubungan dengan peneroka tersebut.
Baginya, apabila kita mendekati peneroka secara peribadi, bertanyakan masalah mereka, menggauli mereka seperti keuarga sendiri, nescaya kita akan dapat menyelami pemikiran mereka lebih dekat dan di kala itu, secara bertahap dapalah kita merubah minda mereka untuk menyokong PAS/Pakatan Rakyat.
Di samping kawasan Felda, PAS juga mestilah mendekati para nelayan dan petani, buruh kampung dan pesara untuk menyelami hati nurani mereka. Berbicara dalam bahasa yang difahami oleh mereka, mendekati mereka secara lunak, memberikan kefahaman akan erti hak mereka untuk mendapat kehidupan lebih baik jika mereka membuat perubahan dalam pilihan raya.
Usaha ini tidak mudah dilakukan, tetapi inilah cabaran penting terhadap PAS yang mesti dihadapi. Dalam keadaan sekarang, PAS kawasan dan cawangan luar bandar memainkan peranan penting untuk menawan hati pengundi luar bandar. Gerakan kerja, pertolongan, akhlak pendukung PAS mestilah diperlihatkan dengan nyata bagi menawan hati pengundi luar bandar. Ringkasnya, dengan peribadi mereka yang baik, amanah, pemurah dan seumpamanya akan menjadi pemangkin dalam usaha menawan hati penduduk luar bandar untuk menyokong PAS.
Kesimpulannya, dengan usaha ini dan dengan izin Allah s.w.t. usaha ini akan berjaya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan