"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kisah Shahidan ‘Baba’ dan 40 orang ulamak

ZULKIFLI YAHAYA

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Shahidan Kasim agaknya tersilap kerana menggunakan angka 40 untuk menggambarkan jumlah ulamak muda yang kononnya menyertai Umno. Ia menjadi bahan gelak ketawa satu Malaysia kerana bunyinya hampir sama dengan ‘Kisah Ali Baba dan 40 Orang Penyamun’.

Sukar untuk dipercayai bagaimana 40 orang ulamak berkelulusan PhD dan Master di bidang agama boleh tersesat haluan untuk menyertai parti sekular berteraskan asobiyah, sedangkan Rasulullah SAW mengisytiharkan bahawa orang yang berjuang atas dasar asobiyah “Bukan dari golonganku.”

Bagaimanapun sebagai rakyat yang cerdik setelah berpuluh tahun dipermainkan oleh media-media talibarut BN, kita janganlah begitu mudah mempercayai propaganda yang dilakukan mereka. Ternyata dalam isu 40 ulamak muda sertai Umno ini, ia tidak lebih dari sebuah lagi babak pembohongan untuk terus memperbodohkan rakyat.

Sebenarnya ‘kumpulan’ yang menyerahkan borang keahlian kepada Presiden Umno, Datuk Seri Najib selepas mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu yang diadakan minggu lalu hanya terdiri dari 16 orang. Antara yang ada profail dalam kumpulan itu ialah ketuanya, Dr. Fadlan Mohd Othman serta dua anak bekas Mufti Perlis. Itu sahaja. Selain dari itu (di kalangan 16 orang) mereka adalah terdiri dari ahli Persatuan Al-Islah Perlis yang pergi untuk berjumpa Najib bagi membersihkan nama persatuan mereka yang turut dikaitkan dengan isu terkini iaitu Jemaah Islamiah (JI) dan keganasan.

Salah seorang dari mereka yang mukanya terpampang dalam semua media kononnya menyertai Umno ialah Ustaz Wahab Abdullah. Dia adalah orang PAS tulen yang mengajar di sekolah PAS di Jejawi. Dia sama sekali bukan pergi untuk serah borang Umno, tapi untuk membersihkan nama persatuannya dari dilabel sebagai pengganas. Begitulah nasib semua rakan-rakannya yang lain yang menyertai rombongan bertemu Najib itu. Saya tidak tahu untuk mencari apa istilah untuk menggambarkan betapa busuknya permainan Umno dan media tali barut mereka.

Taktik inilah yang digunakan sejak berpuluh tahun. Jika seorang ahli PAS sertai Umno, maka media mereka akan melaporkan berpuluh-puluh orang. Jika dua orang masuk Umno, maka angka itu akan berganda menjadi beratus-ratus.

Siapakah Fadlan ketua kumpulan ulamak muda Umno itu? Media talibarut BN melaporkan kononnya dia pensyarah UKM. Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris Ahmad telah menghubungi rakannya pensyarah senior UKM, untuk bertanya siapakah Fadlan? Malangnya rakannya yang sudah lama bertugas tidak kenal ‘rakan sefakulti’nya itu. Tidak mustahil jika dia sebenarnya baru diberi jawatan pensyarah kerana menjadi pak sanggup mengepalai ulamak muda mengisytiharkan diri menyertai Umno. Seorang dua ulamak menyertai Umno bukanlah pelik sangat. Umno sentiasa ada stok ulamak, walaupun segelintir. Alim atau berilmu adalah satu sifat manusia. Namun lurus bendul, takut, jahat, hubbudunya (gila dunia) adalah satu sifat yang lain. Maka alim dan campuran mana-mana salah satu watak kedua boleh terangkum dalam satu personaliti ulamak. Sebab itulah lahirnya ulamak ussuk, sebagaimana yang diberitahu oleh Rasulullah SAW, iaitu ulamak yang sanggup menjual kebenaran demi untuk habuan dunia. Apabila Rasulullah SAW mengakui akan kewujudan golongan tersebut, maka yang hendak dihairankan.

Di peringkat permulaan isu ini dimainkan, kononnya bekas Mufti Perlis Dr. Mohd Asri Zainal Abidin akan turut serta bersama rakan-rakan yang sealiran dengannya. Maka tercetuslah andaian bahawa mereka mahu ‘menyelamatkan diri’ selepas dicop pengganas oleh pihak keselamatan. Tidak semena-mena tiba-tiba aliran yang sepandangan dengan Wahabi dianggap pengganas. Dalam satu taklimat tertutup anjuran Kementerian Dalam Negeri beberapa individu dan kumpulan dicop sebagai pengganas. Antaranya kumpulan (yang dinamakan) Wahabi yang dikaitkan dengan Dr. Mohd Asri. Dicop pengganas bukan sesuatu yang menakutkan. Tapi yang ditakuti oleh kebanyakan rakyat Malaysia apabila dicop pengganas ialah Akta Mat Isa yang mengizinkan seseorang dipenjara tanpa bicara.

Jika kumpulan ini adalah antara yang menyertai Umno, maka mereka bertindak bukan kerana benarnya perjuangan Umno tetapi kerana muslihat tertentu. Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut tersenarai sebagai pengganas JI, tetapi tuduhan itu tidak menjadi kudis kerana beliau mempunyai organisasi yang besar dan kuat untuk mematahkan segala fitnah jahat yang dilemparkan oleh kerajaan Najib. Malang bagi kumpulan yang sealiran dengan Dr. Mohd Asri yang turut dicop pengganas kerana mereka tiada kekuatan seperti PAS untuk menangkis serangan. Pergi menyondol Umno mungkin strategi yang difikirkan baik bagi mereka. Namun tidak semua yang menyondol itu terus menjadi penganut perjuangan Umno.

Sewaktu pertubuhan Al-Arqam diharamkan, para pemimpin dan ahli-ahlinya diburu; orang kanan Ustaz Ashaari Muhammad iaitu Abdul Halim Abbas mengisytiharkan diri menyertai Umno. Dia mendapat perlindungan politik dalam Umno, sekalipun dia tidak pernah mempercayai aqidah perjuangan Umno. Apa hal sekalipun, selepas ini Umno akan terus menjaja ke seantero dunia bahawa kononnya parti asobiyah sekular tua itu mendapat sokongan dari alim ulamak. Cuma kesukaran yang akan dihadapi oleh Umno ialah membawa golongan ulamak ini berkempen di atas pentas politik Umno dalam pilihanraya. Masa itu baru mereka menerima hakikat bahawa tiada orang alim sejati yang mahu ikhlas bersama Umno.

Bagi Shahidan Kassim yang mempelopori cerita 40 ulamak sertai Umno, hanyalah tindakan politik yang beragenda di saat beliau sudah tidak diterima lagi dalam arus perdana Umno. Seronok juga kalau P. Ramlee ada. Dia boleh bikin satu filem baru kisah ‘Shahidan Baba Dan 40 Orang Ulamak’.

Tiada ulasan: