"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kes Sosilawati: Taksub kepada majikan punca pembunuhan

KUALA LUMPUR 17 Sept: Ketaksuban enam pekerja Ladang Gadong, Tanjung Sepat terhadap majikan dikatakan mendorong mereka untuk memukul sehingga mati jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain.

Mereka kemudiannya membakar mayat mangsa sebelum abunya dibuang ke dalam sungai bagi menghapuskan bukti.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin berkata, kes itu melibatkan lapan suspek, bukan 17 orang seperti dilaporkan akhbar sebelum ini.

"Kita percaya enam suspek yang merupakan pekerja dua peguam itu begitu taksub dengan majikannya kerana rata-rata mereka sudah bekerja selama 15 tahun dengan mereka.

"Hasil pengakuan suspek, Sosilawati dan tiga rakannya diikat, dipukul dan ditikam sehingga mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai.

"Mereka bukan ahli kumpulan samseng tetapi suspek pekerja terbabit terlalu taksub dengan arahan yang diberikan," katanya pada sidang akhbar khas di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini hari ini.

Mohd. Bakri ditanya mengenai perkembangan siasatan kes pembunuhan Sosilawati dan tiga yang lain di Banting.

Sementara itu, mengenai aset suspek utama yang dikatakan mencecah ratusan juta ringgit, Mohd. Bakri memberitahu, kesemua harta suspek sama ada di dalam atau luar negara telah dibekukan.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan nilai aset yang telah disita oleh pihak polis.

Mohd. Bakri berkata, suspek turut disiasat oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial dalam tujuh kes penipuan di Selangor sejak dua tahun lalu.

Beliau memberitahu, suspek juga dikaitkan dengan empat lagi kes jenayah iaitu satu pembunuhan dan tiga kes culik.

Kes pembunuhan itu membabitkan seorang wanita berusia 35 tahun yang dibunuh di hadapan rumahnya di Banting, manakala tiga kes culik membabitkan tiga lelaki iaitu seorang ahli perniagaan dari India dan dua rakyat tempatan.

"Mereka juga berkemungkinan telah dibunuh," katanya.
-UM-

Tiada ulasan: