"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Suhakam Kepada Polis: Utamakan Tanggungjawab, Bukan Imej

Suruhanjaya Hak Asasi manusia Malaysia (SUHAKAM) menasihatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar mengutamakan tanggungjawab mereka membanteras jenayah daripada menghabiskan sumber menjaga imej pasukan itu.
Persuruhjaya Sha'ani Abdullah berkata polis harus memantapkan gerak-kerja pasukan itu, dan memperbaiki profesionalisma anggota dengan segera, yang tempang akibat kelemahan PDRM sendiri.

Suhakam berkata demikian melihat reaksi awam yang melahirkan dukacita dengan sikap PDRM yang dituduh memberi sepenuh tumpuan menyelesaikan kes-kes membabitkan individu berprofil tinggi, seperti tragedi pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya.

"Kalau tidak wujud kes pembunuhan Sosilawati, saya percaya banyak kes-kes kecil tidak akan diambil tahu. Dalam hal ini polis harus mengutamakan tanggungjawab mereka daripada menjaga imej mereka sahaja," tegas Sha'ani.
Beliau berkata demikian ketika menerima memorandum dari Ahli Parlimen Kapar, S Manikavagasam. Memorandum itu menggesa penubuhan satu badan siasatan bebas menyiasat kehilangan individu-individu yang dikaitkan kepada suspek utama pembunuhan Datuk Sosilawati.

Manikavasagam turut ditemani oleh isteri kepada Anpalagan Swaminathan yang dikatakan hilang sejak 4 Ogos tahun lalu. Kehilangan beliau dipercayai ada kaitan dengan suspek kes itu.

Jayathy Sandran sebelum ini membuat aduan di Balai Polis Bukit Sentosa. Kecewa dengan respon pihak berkuasa, Jayathy menemui wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat itu untuk bantuan.

"Imej PDRM pasti pulih jika polis menjalankan tugas dengan tekun, amanah, dan bertanggungjawab," tegas Sha'ani.

Sha'ani memberitahu pihaknya tidak selesa dengan sikap dan kenyataan penjawat awam PDRM yang sering memberi amaran dan teguran kepada rakyat berhubung perjalanan kes ini.

"Suhakam merasakan ianya satu sikap yang tidak profesional. Rakyat berhak tegur dan mengetahui apakah tindakan pihak polis dan pihak polis harus memperjelaskan persoalan yang timbul itu, bukannya memberi amaran dan mencabar," ujar Sha'ani.

Tiada ulasan: