KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyampai radio Sinar FM, Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin, 38, masih menyayangi suaminya , Adzmin Othman,37, dan tidak menolak kemungkinan untuk rujuk semula.
Kata Raja Azura atau lebih dikenali sebagai Kak Engku, dia masih memberi peluang kepada suaminya untuk mencari jalan pendamaian dalam tempoh edah demi masa depan anak-anak.
"Selama ini saya hilang kepercayaan kepada suami dan dia perlu mengembalikan kepercayaan itu kepada saya semula. Penceraian hanyalah jalan untuk kami betulkan semula keadaan.
"Namun begitu saya masih lagi membuka peluang kepada dia untuk selamatkan rumah tangga kami sepanjang tempoh edah ini atau berkahwin semula selepas tempoh itu," katanya ketika ditemui selepas selesai menjalankan tugasnya mengendalikan segmenSinar Pagi di Stesen Radio Sinar FM, di Astro Bukit Jalil di sini, Jumaat.
Raja Azura dan Adzmin bercerai talak satu di sebuah mahkamah syariah di Selangor pada 28 September lalu. Penceraian itu dilakukan dalam prosiding tertutup.
Dalam pada itu, Raja Azura turut memberitahu kasih sayang terhadap suaminya tidak pernah berubah malah keputusan untuk bercerai adalah keputusan bersama.
"Kami tidak pernah bergaduh, bertengkar, malah kami adalah pasangan romantik di luar. Saya akui hati saya tidak pernah berubah daripada menyayanginya.
"Kami ambil keputusan ini sebagai jalan terbaik untuk memperbaiki hubungan kami dari luar setelah cara lain gagal. Selepas ini saya harap lebih menghargai dan memerlukan antara satu sama lain," katanya.
Ujarnya, mereka turut berjanji akan menjalankan tanggungjawab sebagai ibu bapa kepada anak-anak dan menjadi sahabat paling baik.
"Sebelum berpisah kami telah berjanji akan menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan baik terutamanya memberi perhatian kepada kami.
"Saya tidak mahu anak-anak rasa terabai malah perkara ini masih menjadi rahsia kami dari pengetahuan mereka kerana mereka masih kecil untuk mengetahuinya," katanya.
Kata Raja Azura, hak penjagaan anak adalah atas persetujuan bersama dan suami berhak untuk berjumpa mereka pada bila-bila masa.
Raja Azura dan Adzmin mendirikan rumah tangga pada 10 Mac 2001 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Megat Muhammad Raziq, 8, Megat Luqman Hakim, 7, serta Puteri Mia Maizurah, 4.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan