"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Saifuddin Dedah Bukti Campur Tangan 'Orang Luar' Minggu Depan

SHAH ALAM 3 OKT: Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution Ismail minggu depan akan mendedahkan bukti wujud campur tangan pihak luar sebagai antara punca masalah pada proses pemilihan peringkat cabang sebelum ini.

“Ya, saya ada bukti. Malah, saya akan respons cabaran Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk dedahkan golongan berkenaan, minggu depan,” kata Ahli Parlimen Machang itu pada wawancara dengan Mingguan Mstar, hari ini.

Beliau mengkategori tiga kelompok sebagai punca masalah iaitu orang luar bukan ahli, ejen provokasi iaitu ahli yang tidak terlibat dalam proses mesyuarat tetapi bertindak liar dan gelagat segelintir ahli parti sendiri.

Katanya, tindakan tegas termasuk denda, gantung dan pecat akan dibuat jika ia melibatkan ahli parti manakala laporan polis dibuat sekiranya membabitkan pihak luar.

Saifuddin ketika menjawab soalan sama ada kekecohan sebelum ini mengambarkan sikap sebenar ahli akar umbi, mengkategorikan mereka selepas meneliti rakaman video dan gambar ketika proses pemilihan.

“Saya kesal insiden melibatkan beberapa cabang menyebabkan terpalit wajah hodoh kepada parti secara keseluruhan. Ini sangat tidak adil kepada 96 peratus cabang lain yang menjalankan tanggungjawab dengan baik,” katanya.
Mengakui wujud beberapa kelemahan yang akan dibaiki pada masa depan, beliau bagaimanapun mengakui komitmen yang menimbulkan kerancakan luar biasa hingga membangkit keghairahan ahli berikutan pemilihan dijalankan secara langsung – seorang ahli satu undi.

“Mulanya, kita fikirkan ini ialah pertandingan keluarga, bukan PKR lawan Barisan Nasional (BN). Pemilihan sebelum ini tidak ada pergaduhan fizikal,” katanya yang berpendapat kematangan setiap ahli tidak sama.

Menjangka pemilihan peringkat pusat tidak sesengit cabang, Saifuddin optimis semua ahli parti tiada masalah untuk kembali bersatu dan memberi tumpuan mempersiap parti terhadap cabaran pilihan raya umum ke-13.
-tvselangor-

Tiada ulasan: