"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kabinet larang menteri cakap terbuka isu patriotisme bukan Melayu

 
Zahid akan menghadap sebuah usul di Parlimen agar gajinya dipotong ekoran kenyataan beliau. — gambar fail
KUALA LUMPUR, 14 Nov: Kesemua anggota Kabinet telah diarah agar tidak lagi membincangkan secara terbuka isu kononnya semangat patriotisme yang rendah sebagai antara punca bukan Melayu enggan menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kata Senator Tan Sri Dr Koh Tsu Koon hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, Kabinet menyerahkan kepada Kementerian Pertahanan untuk melaksanakan pendekatan bagi menambah bilangan bukan Melayu dalam ATM.

“Kami telah mengambil pendirian, memandangkan Kabinet dan Perdana Menteri telah menasihatkan kami bahawa tiada lagi, kesemua bentuk retorik dan hujah secara terbuka.

“Buat kerja untuk membuktikan bahawa kita ini ikhlas dalam mahukan perkhidmatan tentera diwakili dengan baik (oleh semua kaum),” kata beliau kepada pemberita di sini hari ini.

Koh berkata wujud salah faham secara luas bahawa perkhidmatan angkatan tentera hanya dibuka kepada orang Melayu.

“Ia tidak benar. Selain Rejimen Askar Melayu Diraja, (sayap) perkhidmatan angkatan tentera dan unit-unit lain dibuka kepada semua (kaum),” katanya lagi.

“Ini adalah tugas dan tanggungjawab Kementerian Pertahanan tetapi ia akan memastikan angkatan tentera kita menjadi lebih bersepadu,” kata beliau.

Semalam, Koh yang juga Presiden Gerakan berkata Kabinet telah memutuskan untuk mengambil langkah-langkah konkrit bagi menggalakkan penyertaan bukan Melayu dalam ATM.

“Keputusan Kabinet semalam (Jumaat) adalah untuk mengambil langkah-langkah konkrit bagi menggalakkan kaum India dan Cina yang sekarang sangat rendah penyertaannya dalam ATM,” katanya.

Perkara itu menjadi isu ekoran kenyataan Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Rakyat Selasa lalu, yang dilihat oleh sesetengah pihak seolah-olah menggambarkan “bukan Melayu tidak ramai menyertai tentera kerana kurang semangat patriotik”.

Kenyataan itu dikecam oleh MCA dan MIC, dua komponen Barisan Nasional yang Umno merupakan parti teras.

Zahid merupakan Naib Presiden Umno.

Dilaporkan, daripada 9,054 yang menyertai ATM tahun lalu, 8,151 atau 90 peratus daripadanya adalah Melayu, Cina (26) dan India (82), manakala 795 lagi adalah kaum lain yang meliputi kaum pribumi Sabah dan Sarawak.

Di sebalik perkembangan itu,  Zahid akan berhadapan dengan perbahasan usul dipotong gaji RM10 ekoran kenyataan beliau itu.

Usul itu dikemukakan terhadap Menteri Pertahanan oleh Ahli Parlimen DAP dari Ipoh Barat M. Kulasegaran.

Usul itu akan dibahaskan di Dewan Rakyat pada minggu kedua bulan depan.
-malaysianinsider-

Tiada ulasan: