SHAH ALAM, 18 NOV: Kerajaan Negeri Selangor sedang dalam proses untuk mengemaskini perjalanan anak-anak syarikat dan agensi kerajaan secara holistic bagi memastikan pengurusan dibuat dengan telus, bertanggungjawab dan cekap.
Sehubungan itu, Kerajaan Selangor telah mengarahkan semua anak syarikat supaya mendapatkan kelulusan dari Menteri Besar Pemerbadanan (MBI) terlebih dahulu sebelum menganjurkan sebarang aktiviti termasuk sambutan perayaan atau ulang tahun.
"Kelulusan tersebut termasuk antara lain kelulusan belanjawan bagi penganjuran majlis, senarai jemputan dan aturcara. Dengan cara ini, Kerajaan Negeri dapat memantau penganjuran aktiviti oleh anak-anak syarikat seterusnya dapat mengawal perbelanjaan supaya ia munasabah dengan majlis itu bagi mengelak pembaziran wang rakyat.
"Anak-anak syarikat akan hanya dibenarkan melantik syarikat pengurusan acara bagi menguruskan majlis anjuran anak syarikat jika ia benar- benar perlu dengan alasan yang kukuh dan melibatkan perbelanjaan yang tidak keterlaluan serta setimpal dengan majlis yang mahu dianjurkan itu," tulis Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dalam satu kenyataan media.
Walaubagaimanapun, kata Khalid kerajaan negeri tidak mengalakkan anak-anak syarikat menggunakan syarikat pengurusan acara. Sebaliknya anak-anak syarikat digalakkan menggunakan tenaga kerja dan kepakaran kakitangan yang sedia ada dan ini secara langsung dapat mengeratkan lagi hubungan antara pihak atasan dan kakitangan bawahan.
"Cara ini juga boleh memupuk sikap tanggung jawab terhadap syarikat dan ini akan mendorong mereka untuk bekerja lebih kuat untuk meningkatkan produktiviti syarikat," jelasnya.
Kerajaan Negeri berpendapat cara ini sudah tentu akan menjimatkan lagi perbelanjaan dan wang yang dijimatkan ini dapat disalurkan ke tempat atau kepada individu yang sepatutnya sejajar dengan konsep Merakyatkan Ekonomi Selangor dan Hasil Negeri Untuk Rakyat.
Kerajaan Pakatan Rakyat mendokong prinsip ketelusan dan kebertanggungjawab dalam pentadbiran dan tidak berselindung jika ada pegawai atau kakitangan yang melakukan penyelewengan atau salah urus tadbir.
-tvsnews-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan